Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penjaja veteran OUG tak puas hati perubahan syarat pembaharuan lesen

Penjaja di pasar pagi OUG tidak berpuas hati dengan apa yang menurut mereka sebagai perubahan kepada syarat pembaharuan lesen oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Penjaja itu mendakwa mereka dihalang daripada membeli lesen untuk beberapa plot bagi membuka gerai mereka kerana kekurangan ruang.

Mereka berkata DBKL, melalui sebuah organisasi, menafikan pembaharuan lesen untuk memberi laluan kepada peniaga baru mendapatkan lesen plot berkenaan.

Dave Choy, 46 tahun, yang menjual pakaian kanak-kanak, memberitahu Malaysiakini bahawa perkara itu tidak adil kepada penjaja yang telah mencari rezeki selama bertahun-tahun di pasar pagi, sambil menambah bahawa satu plot adalah terlalu kecil untuk penjaja yang perlu mempamerkan barang untuk dijual.

“Organisasi baru ini mahu memerah ruang untuk penjaja yang datang.

“Apabila kami memohon pembaharuan lesen, mereka (DBKL) memberitahu kami tiada ruang lagi, namun kami melihat banyak penjaja baru di sekitar dengan lesen baru,” katanya.

Setiap plot adalah lebih kurang enam meter panjang dan enam meter lebar.

Phang Foong Khoon, 51, yang menjual pakaian dalam berkata, dia sanggup membayar lesen untuk mendapatkan ruang tambahan itu, namun DBKL menghalangnya berbuat demikian.

Sementara itu, dalam surat bertarikh 29 Nov 2021 kepada DBKL yang dilihat oleh Malaysiakini, Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Oversea Union Garden (OUG), Tan Kian Kok mendakwa pembaharuan lesen juga ditolak atas alasan penjaja perlu menyokong pertubuhan baru itu jika mereka mahu terus beroperasi di kawasan tersebut.

Tambahnya, DBKL telah membatalkan dua mesyuarat dengan persatuan itu untuk membincangkan tuntutan mereka.

Awal hari ini, DBKL dikesan menyemak lesen setiap peniaga di pasar itu, serta meluluskan pekeliling meminta setiap penjaja mengundi antara dua persatuan itu.

Tan telah disenaraikan sebagai calon di bawah Persatuan Peniaga Pasar Pagi Hujan Rahmat 2 manakala Wong Choon Lee disenaraikan di bawah Persatuan Penjaja Taman OUG.

Beberapa penjaja memberitahu Malaysiakini bahawa mereka mengundi Wong kerana mereka tidak mahu terlibat dalam politik antara setiap persatuan.

"Saya hanya ikut saja. Yang penting saya boleh beroperasi dan mencari rezeki,” kata seorang penjual buah-buahan.

Seorang penjual kacang soya memberitahu Malaysiakini bahawa dia memilih Wong untuk melihat sama ada dia boleh membawa kelainan, walaupun tidak mengetahui atau pernah melihat Wong di sekelilingnya.

Seorang lagi penjaja berkata dia memilih untuk tidak mengundi Tan kerana walaupun dia seorang presiden yang baik, terlalu banyak kontroversi dan pertikaian dalam persatuan itu.

“Dia (Tan) bagus. Tetapi saya di sini untuk mencari rezeki, bukan untuk bergaduh. Saya tidak faham kenapa mereka terus bergaduh, saya hanya berdiam diri,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi DBKL untuk mendapatkan ulasan.

[Baca berita asal]