Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

AMK: Mukhriz tak layak cakap tentang kepimpinan parti lain

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir tidak layak untuk bercakap mengenai kepimpinan parti lain, kata naib ketua pemuda PKR (AMK) cabang Damansara, Syed Badli Shah Syed Osman.

Menurutnya, ini memandangkan Pejuang sendiri merupakan sebuah parti yang sangat lemah dan belum berupaya membuktikan sebarang pencapaian politik setakat ini.

“Mukhriz sendiri ditolak dan dijatuhkan sebagai Menteri Besar Kedah sebanyak dua kali dan ini adalah cerminan kegagalan dan ketidakupayaan beliau untuk memimpin.

“Sebagai seorang pemimpin yang sangat lemah dan gagal, beliau tidak layak langsung berbicara soal kepimpinan parti lain.

“Saya optimis Parti Pejuang tidak akan punya masa depan yang gemilang jika Mukhriz terus menerajui parti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan temubual Mukhriz bersama stesen radio BFM semalam yang mengatakan bahawa Pengerusi PH Anwar Ibrahim bukan lagi calon untuk menjadi perdana menteri memandangkan masa presiden PKR itu sudah berlalu.

Mukhriz berkata demikian ketika ditanya jika dirinya mempunyai "sebarang isu" dengan Anwar sebagai calon perdana menteri selepas dia berkata bahawa Pejuang tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan PH.

Syed Badli turut menyifatkan dakwaan Mukhriz bahawa kononnya PH memerlukan kumpulan baru untuk mengambil alih pucuk pimpinan sebagai dangkal sekali.

Selain Syed Badli, beberapa pemimpin PKR lain turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan itu semalam.

Antara mereka, termasuk ahli parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang membalas kenyataan Mukhriz dengan membandingkan pimpinan bapanya Dr Mahathir Mohamad sewaktu bersama kerajaan PH, yang mengecewakan banyak pihak kerana memungkiri janji dengan enggan melepaskan jawatan perdana menteri yang telah dijanjikan kepada Anwar.

Sementara itu, Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan pula mempertahankan kenyataan Mukhriz dengan mengatakan bahawa pembangkang harus menerima teguran ikhlas Mukhriz itu dengan hati yang terbuka demi meneruskan kelangsungan politik pembangkang.

“Seandainya pemimpin-pemimpin pembangkang mahu terus relevan serta diterima oleh rakyat jelata, Anwar harus digantikan dengan muka baru untuk memimpin gagasan pembangkang.

“Keputusan PRN Melaka dan Sarawak merupakan signal jelas para pengundi sedang menolak kepimpinan Anwar yang dianggap lapuk serta ketinggalan zaman.

“Politik ‘baling batu sorok tangan,’ ‘tikam belakang,’ ‘pecah dan perintah’ serta agenda kepentingan peribadi Anwar yang hanya mahu jadi perdana menteri Malaysia sudah tidak boleh diterima lagi di alaf moden ini,” katanya.