Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dua lelaki langgar kenderaan polis ketika larikan diri ditahan

Dua lelaki yang bertindak agresif dengan melanggar kenderaan polis ketika cuba melarikan diri berjaya ditahan di Kampung Belat, Kubur Panjang dekat Pendang, hari ini.

Ketua Polis Kedah Kamarul Zaman Mamat berkata sebelum kejadian kedua-dua suspek yang menaiki lori itu sedang dikejar sepasukan polis dari Gerik, Perak sebelum ia memasuki Daerah Baling, Sik dan kemudiannya ke Pendang.

“Polis mula mengejar kedua-dua suspek yang berumur 20-an itu pada pukul 5.45 pagi dan sampai di Kampung Belat, lori berkenaan telah melanggar kereta polis.

"Polis yang berjaya menahan kedua-dua suspek beberapa jam kemudian telah menjalankan pemeriksaan lanjut dan menjumpai 0.34 gram ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu pada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini

Kamarul Zaman berkata semakan terhadap lori berkenaan mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Kepala Batas sebelum ini.

“Kedua-dua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan kes jenayah dan narkotik,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana cubaan membunuh dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

-Bernama