Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MP: Ahli politik populis ingat simpanan KWSP orang susah macam akaun mereka

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menegur ahli politik "populis" yang menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum mengeluarkan lebih banyak wang simpanan persaraan mereka.

"Adalah tidak adil untuk mengharapkan orang susah menggunakan sebahagian besar wang persaraan mereka untuk membina semula kehidupan selepas banjir

"Adalah tidak bertanggungjawab juga untuk ahli-ahli politik populis memainkan isu ini - mungkin mereka merasakan jumlah wang simpanan rakyat marhaen sama seperti akaun mereka,” katanya pada bebenang ciapan di Twitter hari ini.

Menurut Nik Nazmi, akaun pencarum KWSP dalam kelompok B40 dan M40 semua mengalami penurunan.

"Hanya akaun T20 mengalami peningkatan.

"Sebaliknya, Kerajaan perlu memperluaskan dan mempermudahkan bantuan yang ada untuk mangsa banjir," katanya.

Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan inisiatif seperti i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra, yang membolehkan orang ramai mengeluarkan dana persaraan mereka.

Ini bagi membantu pencarum yang terjejas akibat kegawatan ekonomi akibat pandemik Covid-19,

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz sejak itu mendedahkan hampir 50 peratus (enam juta) pencarum KWSP kini mempunyai simpanan kurang RM10,000.

Daripada jumlah itu, dia berkata bumiputera merangkumi 74 peratus dan 79 peratus lagi mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000.

KWSP juga telah memberi amaran sebelum ini, mengatakan pengeluaran berkaitan Covid-19 dibuat dalam keadaan luar biasa dan pengeluaran masa depan perlu dipertimbangkan dengan teliti.

Bagi membolehkan ahli mendapatkan semula kehilangan simpanan daripada pengeluaran berkaitan Covid-19, KWSP mengingatkan pencarum perlu menambah tempoh bekerja sehingga empat hingga enam tahun.

Walaupun Nik Nazmi berkata dia memahami ramai yang menghadapi masa sukar berikutan banjir baru-baru ini, namun katanya, keadaan membimbangkan sekiranya pengeluaran KWSP menjadi pilihan setiap kali berlaku krisis atau bencana.

"Selain pekerja tetap kerajaan, inilah wang simpanan yang diharapkan pekerja-pekerja untuk bersara, ketika kos sara hidup makin meningkat dan jangka hayat menjadi semakin panjang.

"Majoriti keluarga juga mempunyai saiz keluarga yang semakin kecil," katanya lagi.

Pada 31 Dis tahun lalu, sekumpulan 10 pencarum KWSP telah gagal dalam cubaan mereka untuk bertemu ketua pegawai eksekutif (CEO) agensi itu Amir Hamzah Azizan untuk membantah tindakan kerajaan menamatkan pengeluaran simpanan KWSP mereka melalui skim i-Citra.

Jurucakap kumpulan itu Khairul Anuar Othman berkata bantuan tunai RM1,000 daripada kerajaan dan RM600 bantuan zakat tidak mencukupi untuk mereka yang terjejas banjir pulih daripada bencana itu.