3 fenomena air pasang besar diramal berlaku hingga Feb
Tiga fenomena air pasang besar diramal berlaku di negara ini bermula awal bulan ini hingga awal bulan depan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ir Azmi Ibrahim berkata ia bermula pada 2 hingga 5 Jan, diikuti 18 hingga 21 Jan dan 31 Jan hingga 3 Feb.
Beliau berkata paras air laut yang tinggi sekali gus menjadi faktor berlakunya banjir air pasang besar.
“(Air pasang besar) memang akan menenggelami kawasan-kawasan yang rendah sekiranya tidak diberi perlindungan,” katanya dalam program wawancara Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.
Beliau berkata antara perlindungan yang biasa dilakukan adalah membangunkan penghadang di sepanjang pantai bagi mengelak air pasang besar yang akan menyebabkan banjir di kawasan persisiran pantai.
“Suasana akan menjadi lebih buruk sekiranya pada masa sama air sungai itu tinggi disebabkan hujan lebat, jadi air sungai tidak dapat mengalir ke laut dan bertembung dengan air laut yang tinggi, menyebabkan berlakunya pertembungan yang boleh menyebabkan banjir,” katanya.
Terdahulu, JPS melaporkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama empat hari bermula hari ini hingga Rabu melibatkan kawasan berisiko tinggi termasuk Kuala Muda di Kedah, Bagan Datuk di Perak, Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai