Tak tahan rumah selalu banjir, penduduk kumpul duit bina longkang
Tidak tahan berdepan banjir, sekumpulan penduduk di Jalan Marikat, Batu 9, Kampung Mawai di Kota Tinggi, mengambil inisiatif membina longkang sepanjang 300 meter menggunakan wang mereka sendiri.
Suri rumah, Nur Azizan Morshidi, 35, berkata mereka mengumpul wang sebanyak RM500 untuk mengupah jentolak mengorek longkang berkenaan akhir bulan lepas.
Menurut Nur Azizan inisiatif itu membuahkan hasil apabila air tidak memasuki kawasan rumah mereka berbanding banjir sebelum ini dengan air naik hingga paras betis.
“Kami lapan buah rumah kongsi duit, sama-sama ikhtiar sebab nak elak air masuk ke dalam rumah.
“Ini semua persediaan kami untuk elak banjir tahun ini, sebab sebelum ini disebabkan banjir, barang-barang rosak termasuk almari dan tilam tidak dapat diselamatkan, jadi kami ikhtiar cari orang untuk mengorek longkang ini,” katanya yang ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai di Kota Tinggi hari ini.
Nur Azizan yang memiliki seorang anak dan menetap di kawasan itu sejak lima tahun lepas berkata dia dan suami, Baki Tawan, 55, serta lapan keluarga lain kini boleh menarik nafas lega apabila inisiatif itu membuahkan hasil.
Bagaimanapun, dia menjelaskan mereka tetap dipindahkan ke PPS berkenaan kerana jalan utama kampung itu terputus hubungan akibat banjir.
Katanya dia sekeluarga dibawa keluar dari rumah dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam pada 3 petang semalam berikutan hujan lebat sejak 5 pagi.
Terdahulu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melawat PPS itu yang menempatkan 117 orang mangsa banjir, pada 12.15 tengah hari tadi.
Baginda meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra bersama rakyat dengan diringi Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.
Tinjauan Bernama mendapati jalan masuk ke Batu 9 Kampung Mawai Lama masih ditutup berikutan jalan terputus hubungan akibat banjir.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai