Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Bos SPRM perlu tawar diri disiasat PSC atau letak jawatan'

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Azam Baki perlu menawarkan diri untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung dakwaan pemilikan saham dalam syarikat senaraian awam, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

"Azam sepatutnya menawarkan diri untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas ini untuk menunjukkan tauladan yang baik kepada semua penjawat awam.

"Azam perlu meletakkan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM sekiranya beliau tidak bersedia untuk memberikan keterangan di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menjelaskan pertuduhan berat terhadapnya yang telah menjejaskan usaha anti rasuah kebangsaan," kata Lim dalam kenyataan.

Pada 14 Disember lalu, Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa memfailkan usul tergempar di Dewan Rakyat untuk membahaskan dakwaan pemilikan saham oleh Azam, melebihi jumlah dibenarkan.

Sivarasa mendakwa Azam, antara 2015 dan 2016 sebagai pengarah siasatan SPRM, memiliki 930,000 saham dalam sebuah syarikat pada 30 April 2015, dan 1,029,000 saham lagi pada 31 Mac 2016.

Dia juga mendakwa Azam, pada 21 Mac 2016, memiliki 2,156,000 waran dalam sebuah syarikat senarai awam, Excel Force MSC Bhd, manakala adik lelakinya memiliki 3,728,000 unit saham dalam Gets Global.

Perkara itu tidak dilaporkan secara meluas sehinggalah pakar ekonomi, Edmund Terence Gomez meletakkan jawatan sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM.

Gomez mengambil tindakan itu sebagai protes kerana permintaannya supaya badan itu membincangkan dakwaan terhadap Azam tidak diendahkan.

Sementara itu Lim berkata, sikap berdiam diri Perdana Menteri, Ismail Sabri mengenai perkara itu amat membimbangkan.

"Adakah akan ada mesyuarat kabinet hari Rabu ini?

"Jika tidak, mengapa tidak ada mesyuarat kabinet dijadualkan pada 5 Januari memandangkan perdana menteri telah pun menyuruh semua menteri yang sedang bercuti di luar negara untuk pulang kerana banjir sedang melanda seluruh negara?"Soalnya.

'Mula-mula panas, akhirnya tutup buku'

Dalam perkembangan sama, anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Mohd Puad Zarkashi turut mempersoalkan apakah pendirian kerajaan berhubung dakwaan terhadap Azam.

"Apa jadi dakwaan membabitkan ketua pesuruhjaya SPRM? Seperti yang dijangkakan semua pihak senyap dan plaster mulut. PM juga tidak komen apa-apa.

"Akhirnya kita balik amalan lapuk. Mula-mula panas kemudian tutup buku dan dilupakan. Rakyat tertunggu tunggu tanpa ada “solution” konkrit," katanya dalam catatan di Facebook.

Mohd Puad berkata, amat wajar SPRM diletakkan di bawah parlimen berbanding di bawah Jabatan Perdana Menteri seperti sekarang.

"Pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM adalah prerogatif Parlimen. Bukan lagi perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.

"Meletakkan SPRM di bawah parlimen akan memastikan proses semak dan imbang SPRM lebih bebas dan telus. Ini pembaharuan institusi yang perlu diperjuangkan," katanya.