Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PM Sudan letak jawatan

GLOBAL | Perdana Menteri Sudan Abdalla Hamdok meletak jawatan semalam di tengah kebuntuan kemelut politik negara itu susulan rampasan kuasa tentera.

Menurut Al Jazeera, Hamdok mengumumkan peletakan jawatannya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen semalam.

Dalam ucapannya, dia antara lain berkata perbincangan diperlukan untuk mencapai perjanjian baru.

"Saya memutuskan untuk menyerahkan tanggungjawab dan mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri, dan memberi peluang kepada wanita atau lelaki negara ini untuk...membawanya melepasi saki-baki tempoh peralihan ke arah negara demokratik.

"Saya telah cuba setakat yang termampu untuk mengelakkan negara kita masuk ke kancah mala petaka.

"Walaupun dengan langkah untuk merealisasikan perjanjian yang diingini untuk memenuhkan janji keselamatan, keamanan dan keadilan kepada rakyat dan menamatkan pertumpahan darah, ia tidak berlaku," katanya seperti dipetik Reuters.

Setelah digulingkan pada akhir Oktober lalu, dia diletakkan di bawah tahanan dalam rumah sebelum dilantik semula pada November menerusi perjanjian dengan pihak tentera.

Pelantikan itu di tengah tekanan antarabangsa yang membawa kepada persetujuan untuk menubuhkan pentadbiran diketuainya dengan pemantauan tentera, menurut laporan itu.

Perjanjian itu bagaimanapun ditolak gerakan prodemokrasi yang menegaskan kuasa harus diserahkan kepada kerajaan awam sepenuhnya.

Menurut Al Jazeera lagi, Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan, yang merupakan sebahagian daripada gerakan itu, berkata seramai 56 orang telah terkorban dalam protes dan demonstrasi yang diadakan terhadap rampasan kuasa tentera.