Jabatan Perhutanan Johor sasar tanam 4 juta pokok menjelang 2025
Jabatan Perhutanan Negeri Johor menyasarkan penanaman empat juta pokok menjelang 2025, dengan penglibatan setiap lapisan masyarakat di negeri ini dalam usaha menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.
Pengarahnya Datuk Salim Aman berkata aktiviti penanaman pokok itu adalah selaras dengan Program Penghijauan Malaysia yang bertujuan memupuk kesedaran terhadap pengekalan hutan, dan tahun ini sebanyak satu juta pokok dijangka dapat ditanam, dalam usaha mencapai sasaran empat juta pokok yang ditetapkan.
Beliau berkata sebagai permulaan pihaknya akan melibatkan generasi muda yang terdiri daripada pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, agar mereka menjadi pemangkin kepada masyarakat untuk mengekalkan kehijauan bumi dengan melaksanakan aktiviti penanaman pokok.
“Selain menanam pokok, pelajar berkenaan juga didedahkan dengan pelbagai jenis pokok hutan seperti meranti, kempas, kundang hutan, saga dan kasai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada Program Penghijauan Malaysia, Melalui Kempen Penanaman 100 juta Pokok, ‘Hijaukan Bumi, Azam Tahun Baru 2022’ di Kompartmen 8 Hutan Simpan Ayer Hitam Utara di Muar, semalam.
Program yang membabitkan penanaman 500 pokok hutan itu mendapat kerjasama UTM serta sukarelawan EcoNinja komuniti setempat, dan program turut dihadiri Timbalan Pengarah Institut Sultan Iskandar UTM Dr Robiah Suratman.
Salim berkata orang ramai, organisasi dan agensi kerajaan yang ingin menyertai program itu boleh mendaftar di aplikasi Penghijauan Malaysia menerusi telefon pintar atau laman sesawang dan memuat naik maklumat berkenaan pokok ditanam.
“Kita akan memberikan hadiah istimewa kepada individu yang paling banyak menanam pokok menerusi program itu,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai