Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Janda Baik yang kian tak bermaya

ULASAN | Janda Baik ialah kawasan tanah tinggi di Pahang ini tidak kurang tersohornya sebagai salah satu lokasi tumpuan pelancong yang ingin merehatkan diri sambil menikmati kedamaian serta kesegaran alam semula jadi.

Orang yang berduit lebih pula berkunjung ke situ lebih daripada sekadar mahu berehat seketika. Mereka datang bersama wang yang banyak untuk memiliki tanah yang ada.

Lalu dengan wang yang banyak itu juga mereka membina sama ada tempat bercuti sesekali pada hujung minggu atau bila dikehendaki, atau sebarnag kediaman mewah, resort, vila, chalet dan penginapan inap desa.

Sesetengah mereka pula datang dengan membawa bersama ego masing-masing.

Beberapa hari lalu kita digemparkan dengan berita sedih: Janda Baik dilanda bencana yang luar biasa. Ia datang mengejut dan membawa pelbagai kerosakan harta benda yang tidak sedikit nilainya.

Lebih daripada itu, ada nyawa yang turut terkorban.

Lalu muncullah para 'pakar' yang menjelaskan - atau mengaburkan - punca bencana tersebut. Memang kita menerima hujan lebat yang tidak seperti selalu. Lalu ditambah rencah pula dengan pelbagai teori lain.

Semakin dekat dengan sungai

Sambil-sambil memujuk hati, kita pun menyandarkan ketentuan itu kepada rasa reda dan keimanan kepada takdir. Kemudian untuk kelihatan tawaduk - dan mungkin melepaskan dendam - kita pun 'memetik' nama Tuhan.

Gagal merapatkan saf, misalnya, atau menuding jari kepada kilang arak di negeri tertentu sambil melupakan bahawa banjir juga berlaku di negeri yang tiada kilang minuman keras.

Namun tidak ramai yang ingin mengatakan bahawa bencana itu berlaku kerana kekotoran tangan-tangan manusia yang tamak merosakan alam. Induknya: ego dan mainan rasuah yang semakin membarah.

Kes Janda Baik ini, sesetengah orang kaya dan berkuasa memang berlumba-lumba mendapatkan lot-lot tanah di tepian sungai dan bukitnya. Sama ada sedar atau tidak, masing-masing mengusap ego untuk menayangkan binaan rumah agam di situ.

Janda Baik semakin malang apabila ia pembangunannya dibuat tanpa mencermati ekosistem alam semula jadi yang sensitif. Justeru dibinalah rumah masing-masing itu dengan secantik mungkin dengan berlatarkan sungai-sungai.

Semakin dekat dengan sungai, semakin ia membanggakan. Seboleh-bolehnya biar penghuninya boleh mencelupkan kaki sebaik saja membuka pintu rumah.

Empangan buatan manusia juga dibangunkan agar ia dapat membekalkan air sungai ke kolam yang dibina. Kefahaman kita ialah, rumah yang cantik mestilah berhiaskan kolam mandi dan kolam renang.

Kedapatan juga vila yang dibina bersama jambatan dengan tapaknya ditegakkan dalam dalam sungai. Di sebalik suasana cantik itu, binaan tersebut - tanpa disedari - mengganggu dan menyempitkan laluan arus semula jadi sungai.

Selain itu kawasan lereng bukit juga cukup menggiurkan ramai orang. Maka dibinalah rumah yang indah di situ dengan spesifikasi keselamatannya tidak diketahui sama ada dipatuhi atau tidak.

Untuk membinanya, ada tanah yang perlu ditarah, ada pokok yang perlu ditumbangkan dan entah apa lain penyesuaian yang mesti dibuat.

Pembersihan kawasan dan tersingkirnya tumbuh-tumbuhan yang selama ini menjadi pemegang struktur tanah adalah jerangkap samar yang menunggu masa untuk terbingkas.

Sentiasa waspada pada cuaca

Aspek pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan adalah sesuatu yang kabur. Jika ia dibuat dengan baik dan patuh, syukurlah. Namun persepsi umum ialah sesiapa yang mampu berumah besar dan mewah pasti memiliki 'kabel' yang besar dan mewah juga.

Entah-entah kabel itu berselirat dalam urat-urat kayu balak.

Boleh fahami bahawa di atas muka bumi tuhan ini, berniaga dengan jujur adalah suatu nikmat. Tetapi apa maknanya jika bahan yang diniagakan itu dibina - misalnya - di atas rizab sungai.

Berdasarkan kepada pengalaman saya, Janda Baik itu sudah semakin ternoda. ekosistem ya semakin rapuh tercedera. 'Luka' itu bakal mudah menghasilkan bencana yang lebih perit pada masa hadapan jika sikap tidak berubah dan tindakan pemulihan tidak diambil segera.

Sambil mencari jawapan kepada potensi bencana akan datang, disarankan agar sistem amaran banjir dan kepala air diwujudkan di situ.

Penduduknya pula harus sentiasa waspada pada sebarang keadaan cuaca. Seeloknya perlengkapkan diri dengan kit keselamatan. Wujudkan juga pasukan kecemasan sukarela agar sementara menanti bantuan tiba mereka boleh bertindak sewajarnya.

Bayangkan jika jalan perhubungan ke sana terputus sama sekali. Sangat bagus kalau ada sesiapa yang memiliki pengetahuan asas keselamatan atau kecemasan untuk memberikan panduan awal.

Suka atau tidak, kita kena terima hakikat bahawa ekosistem kita sangat rapuh sekarang dan sebarang kemungkinan terbuka untuk berlaku pada bila-bila masa.

Sayang Telemong bersungaikan balak,
Airnya keruh lumpur-lumpuran;
Tidak dikawal segala kehendak,
Akhirnya maut dalam kealpaan.


UBI MARCHINO ialah jurupandu alam semula jadi yang membesar di Kuala Lipis sambil melukis, memerhati dan menulis.

Rencana ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.