Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Reezal: Model baru lebih menyeluruh akan ganti PeKT

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang melihat model baru bagi menggantikan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT), kata menterinya, Reezal Merican Naina Merican.

Jelasnya, penamatan anggota PeKT dibuat selepas kementeriannya tidak lagi mendapat peruntukan daripada perbendaharaan bagi tujuan itu.

"Bila tidak lagi mendapat peruntukan, macam mana kita nak membiayainya?Maka terpaksalah kita menamatkan PeKT.

"Sudah tentunya juga buat masa ini peruntukan lebih berfokus kepada isu semasa yang dihadapi negara iaitu, pandemik Covid-19 dan banjir besar yang melanda negara.

"Kementerian juga sedang melihat model baru yang lebih insklusif bagi menggantikan PeKT," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Reezal berkata demikian sebagai mengulas mengenai surat yang tular berhubung penamatan khidmat PeKT oleh KPKT.

Penamatan perkhidmatan itu dibuat lebih awal berbanding penggal yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2022.

Dalam surat ditandatangi Reezal yang dilihat Malaysiakini, kerajaan memutuskan untuk menghentikan perkhidmatan PeKT disebab situasi negara berdepan pandemik Covid-19 dan bencana banjir yang melanda negara.

"Seperti yang tuan sedia maklum, negara kini berhadapan cabaran luar jangka dengan terjadinya fenomena seperti penularan wabak Covid-19 dan bencana banjir yang telah berlaku baru-baru ini," kata surat berkenaan.

Dalam pada itu Reezal berkata PeKT yang diwujudkan sebelum ini hanya ditubuhkan di tiga buah negeri yang tidak "sehaluan" dengan kerajaan pusat ketika itu.

Oleh itu Reezal berkata ia tidak mahu badan itu dijadikan sebagai alat politik dan mahu ia digantikan dengan satu modul yang menyeluruh di seluruh negara.

"Kita hendak tengok model yang lebih menyeluruh bukan hanya tertumpu di tiga negeri saja, buat masa ini PeKT ini wujud di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

"Kita mahu ia ebih menyeluruh dan inklusif, serta tidak mahu ia dijadikan alat politik," katanya.