Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Boo dakwa kepimpinan DAP pinggirkan konvensyen

Ahli jawatankuasa DAP Johor Dr Boo Cheng Hau menuduh kepimpinan pusat parti itu meminggirkan konvensyen dengan tidak memaklumkan kepimpinan negeri mengenai pencalonan bagi sesuatu pelantikan atau calon pilihan raya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Boo berkata walaupun perlembagaan DAP menyatakan pelantikan calon pilihan raya dan jawatan kerajaan adalah hak jawatankuasa eksekutif pusat, maklum balas daripada akar umbi dan kepimpinan negeri biasanya akan didapatkan terlebih dahulu.

“Jika benar dakwaan (Pengerusi DAP Johor) Liew Chin Tong dan (timbalannya) Teo Nie Ching bahawa cadangan (Liew) untuk dicalonkan sebagai senator di negeri kendalian BN-Perikatan Nasional, mungkin mereka boleh membantu menjelaskan sebab sebenar Jawatankuasa Pemilihan Calon Pusat kerana melanggar konvensyen demokrasi parti yang telah lama wujud tanpa memberitahu jawatankuasa negeri?" soal Boo.

Semalam, Boo menuduh Liew membelakangi Adun DAP Johor dan kepimpinan DAP Johor dalam mendapatkan sokongan Pakatan Harapan (PH) Johor untuk dicalonkannya sebagai senator.

Liew Chin Tong

Boo kemudian menyindir bahawa Liew mungkin telah menyalahgunakan kepercayaan dan perjanjian perbekalan antara PH dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mendapatkan kerusi di Dewan Negara.

Terdapat satu kerusi kosong di Dewan Negara yang diperuntukkan kepada Johor sejak tahun lepas. Hanya empat ahli pembangkang di Dewan Negara setakat ini.

Ketika berita ini ditulis, Liew masih belum menjawab dakwaan Boo, manakala Teo mengeluarkan kenyataan semalam mendakwa pimpinan pusat tidak diwajibkan memaklumkan kepada pimpinan negeri.

Sehubungan itu, Boo menggesa Liew untuk bertanggungjawab atas tindakannya dan secara peribadi menjelaskan dirinya kepada akar umbi DAP dan tidak berselindung di belakang Teo.

"Saya ingin menasihatkan Teo sebagai timbalan pengerusi DAP Johor supaya tidak menjadi orang suruhan pengerusi (Liew) dan sepatutnya menasihatinya agar tidak melanggar konvensyen demokrasi parti," kata Boo.