Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

UNHCR puji tindakan Indonesia benarkan bot pelarian Rohingya mendarat

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) memuji tindakan kerajaan Indonesia membenarkan 105 pelarian Rohingya mendarat dengan selamat setelah tiga minggu berada di lautan terbuka berhampiran wilayah Aceh.

Lapan lelaki, 50 wanita dan 47 kanak-kanak menjejakan kaki di daratan pada petang Khamis, setelah bot dinaiki dilihat terapung dalam keadaan laut yang berbahaya.

Bot berkenaan pertama kali dikesan di perairan berhampiran Bireuen, di utara Aceh, pada 26 Dis.

Indonesia pada mulanya tidak membenarkan pendaratan, tetapi memutuskan untuk bertindak sebaliknya atas alasan kemanusiaan pada Rabu.

“Kami bersyukur kerana Indonesia dan rakyatnya sekali lagi membuktikan naluri kemanusiaan dan menyelamatkan nyawa sentiasa menjadi keutamaan.

"Dalam isu kemanusiaan, tindakan membantu membawa ke daratan penumpang kapal-kapal yang dilanda kesusahan adalah demi mengelakkan kehilangan nyawa," kata wakil UNHCR di Indonesia Ann Maymann dalam satu kenyataan.

Agensi itu menjelaskan bahawa Indonesia telah beberapa kali menjadi teladan bagi rantau itu, setelah menyelamatkan nyawa pelarian Rohingya di laut pada 2015, 2018, 2020 dan terbaharu, seramai 81 pelarian Rohingya telah diselamatkan di pantai Aceh Timur pada Jun 2021.

UNHCR juga mengulangi gesaan agar negara serantau menangani isu berkaitan perlindungan dan kemanusiaan terhadap pelarian dan pencari suaka di laut.

Pelarian terus melakukan perjalanan berisiko di Teluk Benggala dan Laut Andaman menyaksikan keperluan mendesak bagi negara-negara ini mencari penyelesaian terhadap pergerakan maritim yang tidak teratur, katanya.

Bernama