Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kastam Pulau Pinang rampas 18kg dadah bernilai RM1.8j

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang membongkar kegiatan pengedaran dadah menggunakan syarikat kurier selepas merampas lebih 18kg dadah bernilai RM1.8 juta di Pusat Perniagaan Raja Uda, Butterworh pada 22 Dis lalu.

Pengarahnya Abdul Halim Ramli berkata sepasukan pegawai unit narkotik membuat pemeriksaan di syarikat kurier tersebut pada 6 petang dan merampas 10 kotak bungkusan yang mengandungi rangka basikal kanak-kanak bersama tayar dan rim.

Katanya JKDM membuat pemeriksaan ke atas kotak bungkusan itu yang melibatkan syarikat menjual basikal beralamat di Pulau Pinang dan disiapkan untuk dihantar ke negara di Oceania.

"Hasil pemeriksaan awal ke atas satu daripada kotak tersebut menemui bungkusan dadah jenis methamphetamine yang disembunyikan dalam tayar basikal tersebut, dipercayai untuk dieksport ke luar negara dengan menggunakan taktik itu untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Butterworth hari ini.

Menurut Abdul Halim sebanyak 104 bungkusan plastik dadah jenis sama ditemui dalam 10 kotak berkenaan iaitu keseluruhan dadah yang dirampas sebanyak 18.028kg bernilai RM1.8 juta

Katanya JKDM telah merekodkan beberapa keterangan bagi membantu siasatan dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.

Namun tambahnya siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan mereka yang terlibat dan mengenal pasti sama ada sindiket tersebut pernah menjalankan kegiatan sama sebelum ini.

"Saya minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan tersebut agar menghubungi pihak kastam bagi bersama-sama membanteras aktiviti ini," katanya dan menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah.

- Bernama