Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Ada diarah pulang akibat kesilapan penyelarasan'

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan berkata sejumlah individu yang datang untuk mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak Covid-19 terpaksa diminta pulang kerana kesilapan dalam penyelarasan.

Dua hari lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan sela masa bagi penerima dos primer dan suntikan penggalak akan dikurangkan daripada enam bulan kepada tiga bulan secara menyeluruh tetapi beberapa pusat vaksin masih belum mengikuti arahan baru itu.

"Kementerian Kesihatan dan Protect Health telah memberikan arahan mengenai kelayakan baru ke semua pusat vaksinasi (PPV), tetapi jelas terdapat kesilapan dalam penyelarasan di sini," kata Dr A Mahesh, penolong pengarah kanan bahagian kawalan penyakit kementerian itu.

Dia menjawab aduan pengguna Twitter yang memaklumkan dia salah seorang yang diminta pulang selepas hadir untuk suntikan dos penggalak.

"Saya diminta untuk pulang kerana dos kedua AstraZeneca saya adalah pada bulan Ogos dan nampaknya saya perlu menunggu dua bulan lagi," kata pengguna Twitter @FujiyamaOden.

Marhesh memohon maaf atas kejadian itu, menegaskan bahawa ia tidak sepatutnya berlaku.

"Kami gembira akhirnya anda mendapat suntikan itu - kami akan terus memperbaiki," katanya.

Seorang lagi pengguna Twitter @mulwaree turut mengadu tentang pengalaman serupa.

"Saya menelefon PPV yang tersenarai di Protect Health Corporation, semua klinik berkata mereka tidak menerima sebarang memo tentang dos penggalak untuk penerima vaksin Astrazeneca dan memilih untuk tidak mendaftarkan saya, sementara menunggu memo itu," kata pengguna itu.

Di bawah program dos penggalak itu, Kementerian Kesihatan akan menghantar janji temu kepada mereka yang telah menerima suntikan primer mereka, dengan keutamaan diberikan kepada warga emas.

Walau bagaimanapun, mereka yang ingin mendapatkan suntikan penggalak lebih awal boleh menggantikan mereka yang gagal hadir di klinik atau pusat vaksinasi tertentu.

Marhesh, dalam ciapan Twitter berasingan berkata, setakat semalam, kira-kira 700,000 janji temu bagi suntikan dos penggalak telah dihantar.

Sebelum ini, hanya penerima vaksin Sinovac Covid-19 perlu mendapatkan suntikan penggalak mereka selepas tiga bulan manakala selang masa untuk penerima vaksin AstraZeneca dan Pfizer-Biontech ialah enam bulan.

Bagaimanapun, dalam menghadapi gelombang Covid-19 yang membabitkan varian Omicron, kerajaan memutuskan untuk menyingkatkan selang masa semua suntikan dos penggalak kepada tiga bulan.