Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pembangkang bidas k'jaan Melaka pendekkan sidang khas DUN

Seorang Adun Melaka hari ini membidas kerajaan negeri pimpinan BN kerana memendekkan sidang DUN khas kepada hanya sehari pada Isnin lalu, selepas beberapa Adun disahkan positif Covid-19.

Menurut Kerk Chee Yee (DAP-Ayer Keroh), kerajaan negeri sepatutnya mengambil langkah yang sewajarnya untuk memastikan sidang DUN tidak terganggu.

"Sepanjang tahun 2021, hanya satu sesi persidangan yang telah diadakan, dan Exco Kesihatan hanya berdiri menjawab satu soalan sahaja.

"Kali ini, tiada sesi soal jawab. Bayangkan, dalam krisis pandemik, Eeco Kesihatan hanya jawab satu soalan dalam setahun," kata Kerk dalam satu kenyataan.

Kerk merujuk kepada sidang khas yang diadakan untuk membentangkan Belanjawan 2022 negeri Melaka. 

Pada mulanya sidang khas itu dijadualkan berlangsung selama empat hari, tetapi dipendekkan selepas empat Adun disahkan positif Covid-19 manakala tiga lagi dikenal pasti sebagai kontak rapat.

Kerk berkata SOP yang dilaksanakan termasuk ujian PCR yang dijalankan ke atas semua Adun dan anggota dewan, seharusnya bertujuan untuk memastikan persidangan boleh dijalankan dengan lancar dan tidak terganggu.

Katanya, antara langkah yang boleh dikaji oleh kerajaan termasuk menganjurkan sesi persidangan atas talian (online) atau secara hibrid.

"Kini kita dalam fasa endemik dan kes positif Covid19 dijangka akan kekal wujud bagi suatu tempoh masa lagi. Kalau setiap kali kes positif dikesan kerajaan perlu memendekkan sesi persidangan, ini hanya menunjukkan kerajaan kurang berkemampuan dalam menangani Covid19 sehingga institusi legislatif negeri dikompromikan," tegasnya.