Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suami dipenjara 5 tahun kerana cederakan hidung isteri

Tindakan seorang penoreh getah mencederakan isterinya sehingga hidung wanita itu koyak membawa padah apabila dihukum penjara lima tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Fakrullah Mukhatar, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah ke atas isterinya yang berusia 39 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Chabang 3 Chuchoh Puteri A, Kuala Krai kira-kira pukul 10.30 pagi pada 21 Disember lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalnaa memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana telah menyebabkan bahagian hidung isterinya dijahit sembilan jahitan.

Tertuduh dalam rayuannya meminta hukuman yang ringan kerana telah berbaik semula dengan isterinya selepas kejadian itu.

Mahkamah bagaimanapun menjatuhi hukuman penjara selama lima tahun bermula hari ini.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati tiba-tiba mengamuk sebelum isterinya cuba menenangkannya.

Keadaan itu menyebabkan tertuduh memukul badan isterinya menyebabkan wanita tersebut mengatakan suaminya dayus.

Berang dengan kenyataan tersebut, tertuduh menumbuk muka isterinya sekali dengan tangan kanan sehingga bahagian atas hidung wanita itu koyak dan berdarah.