Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Shahidan sindir ‘yang minta i-Citra’ tak turun pun bantu

Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim hari ini menyindir beberapa pemimpin, termasuk daripada Umno yang memperjuangkan pengeluaran tunai RM10,000 dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu mangsa banjir.

"Pandangan saya hanya bersama Perdana Menteri. Saya tak mahu komen apa-apa. Masing-masing ada pandangan.

"Saya sekurang-kurang beri pandangan nanti, saya tak nak tengok nanti pandangan saya melanggar peraturan parti.

"Saya tak komen banyak. Saya buat kerja berdasarkan makluman dari kawan-kawan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pemberian bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir dari mangsa, di Kampung Pasir Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan ketua pemuda parti itu, Asyraf Wajdi Dusuki mahu supaya bantuan pengeluaran tunai KWSP yang dikenali sebagai i-Citra diteruskan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa kerajaan tidak bercadang membenarkan pengeluaran i-Citra lagi.

Katanya, ia berikutan kerajaan sudah menyediakan bantuan kewangan kepada syarikat dan individu bagi meringankan beban mereka yang terjejas.

Antaranya, Ismail Sabri mengumumkan bantuan RM1,000 kepada ketua keluarga mangsa banjir, RM10,000 kepada waris bagi mangsa terkorban akibat banjir, serta rebat 100 peratus bil elektrik untuk bulan Disember.

"Wajar kita tengok dan halusi tindakan perdana menteri. Ada juga komen kita bagi pun pinjaman RM10,000 dengan moratorium selama setahun, pinjaman peribadi dengan moratorium selama enam bulan pun ada orang komen.

"Itu terpulang bagi mereka yang memerlukan untuk mendapatkan pinjaman Tekun, terus lah dan bagi mereka tak perlu tak payah komen.

"Ini kerja baik yang dicadangkan oleh kerajaan kepada yang memerlukan. Ini ada orang tak perlu apa pun dan tak datang ke banjir pun komen macam-macam. Orang yang datang ke banjir itu sendiri mengetahui tentang apa yang harus dibuat," katanya.

Setakat semalam, 48 orang menjadi mangsa terkorban akibat banjir di seluruh negara, manakala lima lagi masih hilang.

Hujan lebat minggu lalu menyaksikan beberapa negeri ditenggelami air. Antara yang teruk terjejas adalah di Selangor, Pahang dan Kelantan.