Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Asri minta menteri jangan terlibat kerja bukan tugas hakiki

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan agar anggota kabinet berhenti melakukan hal-hal yang boleh menjadi drama dan kelucuan di media sosial ketika itu bukanlah tugas hakiki mereka mendepani bencana.

Kata Asri, seseorang menteri harus memberikan tumpuan menjalankan tugas sebenar dengan baik, iaitu mengurus dan mentadbir, terutama ketika negara dilanda musibah seperti banjir.

“Saya nak cadangkan kepada mereka yang menteri dan seumpamanya, saya rasa mereka tak perlu buat kerja-kerja yang bukan kerja mereka.

“Kerja menteri ini adalah mengatur, mentadbir, supaya (dapat) mengurus hal-hal negara ini termasuk macam banjir, macam mana nak tadbir urus banjir supaya berjalan dengan baik, bantuan, bagaimana nak menyelamat dan bagaimana nak atur keadaan. Itu tugasan menteri.

“Dia tak perlulah nak pergi angkut bantal, selimut nak pergi basuh, nak pergi sembur air, tak payahlah.

"Bila buat macam tu jadi drama, dan benda tu jadi tak habis-habis dan jadi satu kelucuan di dalam media yang tak baik untuk negara," katanya dalam satu rakaman video.

Jika ia dibiarkan berterusan, kata Mohd Asri, ia hanya akan menjejaskan kewibawaan kerajaan.

Walaupun tidak membuat rujukan secara khusus dia dipercayai membuat kenyataan itu ekoran kontroversi yang melanda beberapa pemimpin negara ketika turun padang melawat kawasan banjir.

Mendorong menteri untuk berlakon

Antaranya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun diherdik warga maya apabila dia dirakam menggunakan penyembur air bagi membersihkan kawasan sekolah yang menjadi pusat penempatan sementara (SPM), sambil dikelilingi sekumpulan petugas media. 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga tidak terlepas menjadi mangsa sindiran warganet apabila videonya bergaya untuk kamera dengan menyodok lumpur pula dipermainkan warga maya, dipercayai dalam program gotong-royong di kawasan banjir. 

Kata Asri, tidak mengapa jika menteri turun untuk memantau keadaan bagi membawa bantuan atau melihat sendiri keadaan bencana di lapangan supaya dapat membuat aturan pengurusan yang lebih tepat dan baik.

Ketika menteri turun ke lapangan, katanya, rakyat pula disaran agar tidak menyuruh menteri terbabit melakukan kerja-kerja yang tidak sepatutnya, seperti mengangkut barang-barang, mencuci atau memberus.

Gesaan seumpama itu, katanya, hanya akan mendorong menteri turun untuk “berlakon”.

“Itu bukan kerja dia.

“Bagitahu dia: 'YB, kami perlu ini, ini’. Ha..., bagitahu itu, dia nak buat keputusan tu, sebab dana mereka yang uruskan. Keputusan-keputusan jentera kerajaan, agensi kerajaan, di tangan mereka.

"Itu kerja dia.

“Kita dah silap bagi tugas kat dia (menteri). ‘Ha, mana menteri? Mari cuci’. Menteri pun pergi berlakon. Jadi kartun.

“Jadi saya cadangkan baikilah keadaan ni. Tak payahlah. Kita punya mentaliti pun salah, dia punya mentaliti pun tak berapa kena. So kita baikilah,” katanya lagi.