Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Adun Dusun Tua dakwa dihalang sambut lawatan PM

Adun Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof, mendakwa dia dihalang daripada hadir meraikan lawatan perdana menteri di kawasannya pagi tadi.

Menurut Edry Faizal, apabila mengetahui mengenai lawatan Ismail Sabri Yaakob di situ, sebagai wakil rakyat dia diminta menyambut perdana menteri berkenaan sebagai tanda hormat.

"Kita pun OK saja, tapi pagi ni saya nak masuk ke lokasi, polis tak bagi masuk," ceritanya melalui ciapan ringkas di Twitter sebentar tadi.

Menurut laporan Bernama, Ismail Sabri mengadakan lawatan di beberapa lokasi di sekitar Hulu Langat untuk meninjau kesan banjir besar yang melanda pada hujung minggu lalu.

Selain Shah Alam, Hulu Langat adalah antara kawasan yang paling teruk terkesan dengan bencana alam berkenaan.

Ismail Sabri juga dilaporkan berkunjung ke beberapa lokasi untuk melihat proses gotong-royong pembersihan kawasan petempatan penduduk. Kerja-kerja bantuan itu dilakukan sukarelawan dan NGO serta pasukan keselamatan.

Selepas dihalang, kata Edry Faizal, dia meninggalkan kawasan berkenaan untuk menyambung kerja-kerja membantu penduduk yang terjejas.

"Tak apalah, saya pun banyak kerja lain. Selamat datang YB (Ismail Sabri)," ciapnya, "saya gerak dulu."

Pada rajutan sama wakil rakyat dari DAP itu juga menegur polis yang didakwanya gagal hadir dalam mesyuarat penyelarasan bantuan kepada penduduk di sekitar kawasan terbabit.

"Buat pihak @PDRMsia yang garang-garang pada saya dan orang kampung tadi, harap malam ni hadir ya mesyuarat penyelarasan bencana daerah Hulu Langat.

"Dah dua malam skip meeting (tak hadir mesyuarat). Kita banyak benda nak kena settle (selesaikan) ni," ciapnya lagi.