KM Melaka: Penduduk kawasan risiko banjir perlu peka ramalan cuaca
Penduduk di kawasan berisiko dilanda banjir perlu sentiasa peka dengan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ia penting sebagai langkah siap siaga memandangkan gelombang kedua banjir dijangka berlaku dalam tempoh terdekat.
"Sentiasa peka dengan perkembangan cuaca di kawasan masing-masing dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa serta pejabat daerah. Kalau diarahkan berpindah, segera lakukannya.
"Pejabat daerah pula perlu konsisten dalam memberi maklumat dan arahan kepada penduduk agar gerak kerja dalam berhadapan banjir dapat dilakukan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan pelepasan Misi Pasca Banjir Melaka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, di Alor Gajah hari ini.
Pada misi tersebut, sumbangan bantuan peralatan dan kelengkapan asas diagihkan kepada 228 rumah yang terlibat banjir di DUN berkenaan, terutama di kawasan Lubok China susulan program pascabanjir sebelum ini yang memfokuskan kerja-kerja pembersihan.
Antara kelengkapan yang disumbangkan adalah periuk nasi, cerek, cadar, selimut, kain batik dan pelekat serta bantal yang disumbangkan oleh pelbagai agensi termasuk daripada jabatan kerajaan, agensi dan syarikat.
Dalam pada itu, Sulaiman menjelaskan kerja-kerja pembersihan pascabanjir di kawasan yang terjejas sedang giat dilaksanakan oleh pelbagai agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Fokus utama adalah pembersihan sungai, longkang serta membaiki jalan yang rosak. Saya sudah arahkan kerja-kerja pembersihan ini dilakukan dengan segera sebaik saja banjir surut kerana bimbang sekiranya berlaku gelombang kedua banjir.
"Jika itu berlaku, keadaan akan menjadi lebih buruk dan menyukarkan penduduk. Setakat ini, kerja pembersihan berjalan dengan baik dan masih berterusan," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai