Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Orang kampung bergantung sesama sendiri lepas bantuan lambat sampai

Penduduk di beberapa kawasan di Pahang yang dilanda banjir besar terputus bekalan air bersih dan elektrik selepas bencana itu memusnahkan infrastruktur tempatan.

Lebih teruk, ramai juga yang terputus hubungan dengan dunia luar kerana perkhidmatan telekomunikasi terganggu.

Kampung Sungai Dua di Bentong adalah salah satu perkampungan tersebut.

Kampung Sungai Dua yang terbahagi dua ekoran pembinaan Lebuhraya Karak itu menyaksikan rumah setingkat hampir ditenggelami air apabila banjir mula naik sejak petang, Sabtu lalu.

Tanpa bantuan segera daripada pihak berkuasa, penduduk di perkampungan terbabit terpaksa mengatur usaha menyelamat sendiri selain berusaha mendapatkan bekalan makanan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SJKC Kampung Sungai Dua, Loh Sai Meng (gambar atas) antara individu yang bertanggungjawab membantu mendapatkan bantuan bagi penduduk kampung terbabit.

SJKC itu kini menjadi pusat perlindungan sementara penduduk kampung, pusat sehenti untuk penduduk kampung untuk mendaftarkan sebarang kehilangan, pusat agihan bantuan serta pusat maklumat.

Bercakap kepada Malaysiakini, Loh menceritakan detik perkampungan tersebut mula dinaiki air, yang mana dia dan beberapa sukarelawan Orang Asli telah bergegas keluar menaiki bot bagi memindahkan penduduk kampung ke kawasan yang lebih tinggi sehingga jam 3 pagi keesokan harinya.

“Paras air terlalu tinggi dan aliran terlalu deras. Apabila kami ingin pulang ke kampung untuk kali ketiga, kami tidak dapat melakukannya lagi.

“Rakan-rakan Orang Asli saya juga tidak berani meneruskan usaha menyelamat. Ketika itu kami masih terdengar beberapa orang kampung menjerit meminta tolong tetapi kami tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.

 

Loh berkata pihaknya meneruskan usaha menyelamat pada sebelah pagi dan mendapati masih terdapat lebih dua puluh orang terkandas di atas bumbung.

Kata Loh, ketika misi menyelamat itu juga dia secara kebetulan telah bertembung dengan pasukan penyelamat Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di lebuh raya itu.

Disebabkan keadaan darurat itu, Loh berkata dia tidak mempunyai pilihan selain meminta bantuan daripada Pemangku Raja Pahang itu walaupun hanya mampu bercakap “bahasa pasar”.

Selepas memerhati keadaan kampung, Loh berkata, Tengku Hassanal menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mendapatkan bantuan dan berjaya mendapatkan sepasukan dari Perak untuk datang menjalankan kerja menyelamat kira-kira jam 2 petang pada hari yang sama.

Perkhidmatan telekomunikasi hanya dipulihkan sepenuhnya petang semalam, enam hari selepas banjir kilat melanda.

Susulan kejadian itu, Loh juga memaklumkan dia telah mengumpulkan sekumpulan wanita untuk membantunya menyediakan masakan panas bagi mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan terbabit sementara mereka yang lain dapat membantu melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Seperti saya sendiri, rumah saya yang terletak di seberang tidak dilanda banjir. Jadi saya mengambil keputusan untuk mengumpulkan semua orang untuk bekerjasama dan berkongsi kesusahan kerana ketua kampung kami turut dilanda banjir.

“Tambahan pula, rumah dan dapur semua orang sudah kucar-kacir selepas air banjir surut.

"Sebab itu saya minta bantuan golongan wanita untuk memasak makanan untuk semua orang di sini supaya sekurang-kurangnya mereka tidak perlu risau tentang makanan,” katanya.

Menurut Loh, kira-kira 10 sukarelawan menyediakan dua hidangan sehari, termasuk 300 pek makan tengah hari dan 260 pek makan malam.

Tambah Loh, mujurlah pelbagai bantuan makanan dan keperluan asas telah dihantar ke kampung itu pada keesokan harinya selepas beberapa penduduk kampung menuju ke pekan untuk meminta bantuan.

Adun Bilut Lee Chin Chen turut turun padang bagi membantu usaha itu.

Sementara itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) Kampung Sungai Dua telah menubuhkan jawatankuasa bantuan banjir untuk mengumpul dana dan sedang berhubung dengan agensi kerajaan.

Menurut laman Facebooknya, jawatankuasa itu telah mengumpul RM30,000 setakat Khamis lalu (23 Dis).

Jawatankuasa itu juga mengumpul maklumat daripada mangsa banjir bagi memudahkan tuntutan pampasan daripada kerajaan sekali gus dapat mengelakkan kehadiran orang ramai di balai-balai polis.

Laporan polis adalah prasyarat untuk tuntutan pampasan.

Kerajaan Pahang pada Khamis mengumumkan Bantuan Khas Bencana Banjir sebanyak RM500 kepada setiap ketua keluarga yang terjejas dengan bencana banjir di negeri ini.