Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Omicron: Kerajaan akan awalkan suntikan dos penggalak

Kementerian Kesihatan akan mengumumkan tempoh yang lebih pendek untuk selang masa suntikan penggalak Covid-19 awal minggu depan, kata menterinya Khairy Jamaluddin.

"Ini akan melayakkan sebahagian besar daripada penduduk Malaysia yang telah menerima dos pertama dan dos kedua untuk dapat dos ketiga," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Langkah itu selaras dengan negara lain seperti Jerman dan Australia, yang mengesyorkan tempoh dos penggalak yang lebih pendek dalam usaha untuk membendung penyebaran varian baru itu.

Beberapa kajian telah menghasilkan data awal yang menunjukkan bahawa dua dos vaksin Covid-19 ketika ini tidak berkesan dalam mencegah jangkitan gejala varian Omicron, tetapi suntikan penggalak boleh memulihkan kebanyakan perlindungan asal.

Walaupun terdapat data yang menunjukkan bahawa jangkitan varian Omicron secara amnya lebih ringan daripada varian Delta terdahulu, Khairy berkata sama ada ini terpakai kepada Malaysia atau tidak masih belum diketahui.

"Epidemiologi di UK dan di Malaysia adalah berbeza, jadi apabila gelombang Omicron tiba, kita tidak tahu sama ada ini akan menyebabkan kemasukan ke hospital meningkat atau tidak," katanya.

Jemaah umrah digesa mendapatkan suntikan dos penggalak

Khairy berkata demikian sebagai mengulas peningkatan bilangan kes varian Omicron yang dikesan di pintu masuk antarabangsa Malaysia dan kemungkinan pelanggaran kuarantin, serta kes yang disyaki penularan Omicron di dalam negara.

"Kemungkinan Omicron sudah berada di dalam komuniti adalah agak tinggi disebabkan kes di Sarawak ini adalah seorang yang tidak ada sejarah perjalanaan keluar negara. Dia tak keluar pun.

"Maka ini menunjukkan bahawa sudah berada di komuniti dan kita menjangkakan kes-kes akan meningkat disebabkan Omicron sudah ada di komuniti," kata Khairy.

Dia juga berkata kementerian sangat menggalakkan individu yang merancang untuk melancong ke luar negara untuk mendapatkan suntikan dos penggalak mereka, terutamanya mereka yang melakukan perjalanan umrah di Arab Saudi.

Daripada 49 kes varian Omicron yang disahkan di Malaysia pada 23 dan 24 Dis, 30 kes (61 peratus) melibatkan pelancong yang pulang dari Arab Saudi. Pengembara ini tiba di Malaysia antara 13 Dis dan 17 Dis.

Pada 1 Dis, Khairy telah mengumumkan bahawa pelancaran suntikan dos penggalak Covid-19 Malaysia akan dipercepatkan berikutan kemunculan varian Omicron, dengan tujuan meningkatkannya daripada 120,000 dos sehari kepada 150,000 dos sehari.

Data KKM menunjukkan purata 131,083 dos penggalak telah diberikan setiap hari dalam tempoh tujuh hari terakhir sehingga 24 Dis, dengan jumlah 5,363,641 dos yang diberikan. Ini berjumlah 16.4 peratus daripada penduduk Malaysia, atau 23.5 peratus daripada orang dewasa yang diberi vaksin sepenuhnya.

Khairy berkata usaha berterusan untuk mempercepatkan pelancaran penggalak akan dipergiatkan.

Selain suntikan penggalak, Khairy berkata kementerian akan meningkatkan pengawasan genomik.

[Baca berita penuh]