Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mangsa banjir Bentong: Mereka hanya lalu dan lambai tangan

Selain tindak balas perlahan, kunjungan sesetengah pihak pentadbiran secara sepintas lalu di kawasan yang terjejas banjir, tanpa memberi bantuan yang diperlukan, turut mengundang kritikan.

Ketika Kinitv membuat tinjauan di Taman Chegar Medang di Bentong, Pahang semalam, sampah dilihat masih bertimbun di depan rumah mangsa, selain selut yang masih melitupi sebahagian besar kawasan sekitar.

Semalam masuk hari kelima selepas air banjir mula surut Ahad lalu.

Zalmiah Wahab, 61, berkata penduduk berdepan kesukaran untuk membersihkan rumah mereka ekoran masalah bekalan air dan elektrik.

“Kami tinggal sehelai sepinggang, apa pun takda dah. Cuma nasib baik nyawa kami lepas (masih ada),” katanya.

Ditanya jika dia ada menerima sebarang bantuan daripada agensi kerajaan, Zalmiah berkata rombongan kereta Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail hanya melalui kawasan perumahannya.

“Kerajaan datang tengok. Tapi tak turun (kereta), cuma bye bye (lambai tangan) macam tu saja. Tak turun (dari kereta) pun.

"Rasanya mereka datang dari Kuantan. Menteri besar pun ada tapi dia tak turun (dari kereta),” dakwanya.

Zalmiah

Namun berdasarkan hantaran Facebook Wan Rosdy semalam, dia ada membuat kunjungan di beberapa kawasan terjejas di Bentong, termasuk Kampung Chegar Medang.

Wan Rosdy turut mengumumkan kerajaan akan memberikan bantuan tunai RM500 kepada setiap isi rumah terjejas.


BacaMB Pahang: Tak benar saya cuma lambai mangsa banjir


Sementara itu, cucu Zalmiah, Fazri berkata penduduk di kawasannya ada menerima makanan dan barangan asas daripada pihak luar dan NGO.

“Kami bersyukur kepada orang yang beri bantuan dan datang menolong, kutip sampah.

“Barang asas semua ada (disumbangkan), Alhamdulillah,” kata pemuda berusia 23 tahun itu.

Namun saliran yang tersumbat menjadi masalah utama bagi penduduk yang ingin membersihkan rumah, kata Fazri.

“Longkang tersumbat. Sepatutnya pihak berkuasa tempatan datang (baiki) tapi bila mereka tak datang, air tak boleh mengalir keluar.

“Sudah empat hari cuci tapi tak guna sebab air tetap naik balik. Macam mana nak buat? Tengok sajalah,” keluhnya.

Dia berharap Jabatan Bomba dan Penyelamat dapat dikerahkan untuk mengorek lumpur keluar kerana penduduk tidak berupaya untuk melakukannya secara sendiri.

Taman Chegar Medang merupakan antara kawasan paling teruk terjejas di Bentong. Ia terletak berdekatan Karak dan dalam kawasan DUN Ketari.

Air naik setinggi paras bumbung pada malam Sabtu lalu.

Ditanya berkenaan keberkesanan usaha menyelamat oleh kerajaan, seorang lagi mangsa, Muhd Amzar Nazri, 24, berkata adun kawasan itu iaitu Yong Syefura Othman merupakan antara yang terawal untuk menghantar bantuan ke situ.

“Setakat ini yang saya tahu Rara (Syefura) yang bagi bantuan macam tilam dan makanan.

“Rabu lepas dia pun beri sumbangan lori dan pengorek (backhoe) untuk cuci kawasan. Dia yang cepat bagi bantuan,” kata pelajar kolej itu lagi.

Kinitv juga bertemu seorang sukarelawan dari Muda Johor di situ, yang mendakwa tiadanya agensi kerajaan di kawasan yang ditimpa banjir.

“Secara peribadi, saya tak pasti ini negara anarki atau negara yang ada kerajaan.

“Jelas kita lihat rakyat lebih ramai di sini berbanding agensi kerajaan. Kerajaan tolonglah tengok di sini. Penduduk di sini sangat memerlukan bantuan.

“Tentunya sebagai rakyat kita boleh bantu, itu peranan kita. Tapi ia tanggungjawab kerajaan,” katanya.

Dia media sosial, ramai yang membangkitkan kekecewaan kerana merasakan kerajaan lambat bertindak balas terhadap banjir yang melanda, serta ahli politik yang dilihat menggunakan musibah ini untuk publisiti

Banyak video dikongsikan yang memaparkan reaksi negatif mangsa banjir terhadap menteri yang berkunjung di kawasan yang terjejas atau membangkitkan kritikan terhadap usaha menyelamat yang dilaksanakan.

[Baca berita asal]