Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Saya bukan isteri PM pertama guna gelaran First Lady of Malaysia'

Rosmah Mansor hari ini memberi keterangan bahawa beberapa isteri perdana menteri terdahulu telah menggunakan gelaran ‘First Lady of Malaysia’.

Semasa perbicaraan kes rasuahnya hari ini yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar Sarawak, isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu menyifatkan dakwaan bahawa dia adalah orang pertama yang menggunakan gelaran itu sebagai tidak benar dan fitnah.

Dia menjawab pihak pendakwaan yang menuduhnya dalam prosiding lalu, di mana dia kemudiannya memberi keterangan bahawa dia tidak tahu sama ada ibu mertuanya, Rahah Mohamed Noah, adalah First Lady of Malaysia.

Rahah ialah isteri kepada bekas perdana menteri, Abdul Razak Hussein, yang juga bapa Najib.

Pihak pendakwaan dalam prosiding sebelum ini membawa saksi untuk memberi keterangan mengenai bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) ditubuhkan di Jabatan Perdana Menteri, semasa Najib menjadi perdana menteri.

Mahkamah sebelum ini mendengar bahawa bahagian itu antara lain ditugaskan untuk merancang dan menyelaras majlis rasmi yang perlu dihadiri Rosmah.

Pihak pendakwaan sebelum ini memberi gambaran bahawa Rosmah adalah isteri pertama seorang perdana menteri ketika itu yang melabelkan dirinya sebagai First Lady of Malaysia.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela Akberdin Abdul Kader pagi ini, Rosmah memberi keterangan bahawa The Malaysian Branch Of The Royal Asiatic Society menyifatkan Rahah, arwah ibu Najib, sebagai First Lady of Malaysia.

Rosmah juga merujuk kepada beberapa penerbitan lain yang menyifatkan Siti Hasmah Mohamad Ali dan Endon Mahmood Ambak, isteri dan arwah isteri bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi, disifatkan sebagai First Lady of Malaysia.

“Apabila saya mendengar (apa yang didakwa oleh pihak pendakwaan), saya berasa sangat marah dan kecewa dengan sikap pendakwa raya, kerana saya bukan jenis orang itu.

“Apabila saya membuat kajian (mengenai penerbitan yang menggambarkan Rahah dan beberapa isteri bekas perdana menteri lain sebagai First Lady of Malaysia), saya mendapati bahawa apa yang dikatakan oleh pihak pendakwa raya adalah tidak benar.

“Ini (dakwaan pendakwa raya) tidak benar dan berunsur fitnah. Saya tidak tahu bagaimana seseorang boleh mengatakan ini tentang orang lain,” kata Rosmah.

Pada ketika dia menyatakan bahawa Rahah telah meninggal dunia. Rosmah dilihat tersedu selama beberapa saat sebelum meneruskan keterangannya.

Prosiding di hadapan hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan bersambung hari ini.

Berhubung perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rosmah, 70, menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa meminta rasuah RM187.5 juta daripada Jepak Holdings Sdn Bhd untuk membantu mendapatkan projek Kementerian Pendidikan.

Projek bernilai RM1.25 bilion itu bertujuan membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak menggunakan gabungan tenaga solar dan diesel.

Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa menerima rasuah masing-masing RM1.5 juta dan RM5 juta sebagai ganjaran untuk mendapatkan projek itu.

Pada 18 Feb tahun ini, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri, berikutan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

[Baca berita asal]