PM digesa singkir Abd Latiff dari terajui Nadma
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob digesa menyingkirkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Abd Latiff Ahmad daripada menguruskan hal ehwal bencana negara.
Ketua Penerangan Putra Ashraf Rosli membuat desakan itu susulan kritikan terhadap cara Abd Latiff memimpin Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam berdepan bah besar kali ini.
"Ini adalah perkara serius dan Putra menggesa pihak kerajaan terutama perdana menteri menggantikan menteri yang lebih proaktif bagi menangani isu bencana ini dengan lebih efektif.
"Kerana ini bukan sahaja melibatkan harta benda dan pendapatan rakyat yang terjejas malah ia melibatkan nyawa rakyat dan juga masa depan negara," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Ashraf berkata musibah banjir "bukanlah sesuatu yang baru" apatah lagi ketika tengkujuh pada hujung tahun, maka Abd Latiff wajar memastikan Nadma sentiasa bersiap sedia menghadapai apa sahaja ancaman bencana.
“Kelewatan mengurus bencana banjir kali ini satu perkara yang amat memalukan. Menteri tidak perlu menyatakan ‘Apakah solusinya?’ dengan kenyataan tersebut cukup melayakkan beliau letak jawatan kerana sudah ketandusan idea,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tegas Ashraf, sebagai seorang menteri yang berpengalaman dan sudah enam penggal menjadi wakil rakyat, Abd Latiff sepatutnya tahu dan faham apakah tugasan dan fungsi portfolio yang dipegangnya.
Semalam Abd Latiff dilaporkan berkata dia tiada masalah untuk meletakkan jawatan susulan dakwaan Nadma gagal menguruskan hal ehwal banjir.
Bagaimanapun, soal Abd Latiff adakah perkara itu akan menyelesaikan masalah.
“Bubar (Nadma) boleh, saya setuju. Saya letak jawatan (pun) boleh. Saya sudah enam penggal (jadi wakil rakyat). Tiada masalah.
“Tapi apakah solusinya?” soalnya dalam wawancara dengan Sinar Harian
Dalam pada itu, Putra melahirkan rasa kesal apabila aset-aset strategik kepunyaan Nadma tidak digunakan apabila perlu.
"Kehilangan nyawa hampir 40 mangsa tidak sepatutnya berlaku jika pengarah koordinasi Ndama lebih peka dan bijak mengatur strategi menyelamat.
“Jika menteri tidak bijak sewajarnya beliau mengambil pandangan daripada mereka yang lebih bijak seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang begitu pantas dalam menjalankan misi menyelamatkan mangsa banjir,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai