Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Indonesia kesan Omicron di kalangan pengembara dari Malaysia, Congo

Kementerian Kesihatan Indonesia berkata ia telah mengesahkan tiga kes Covid-19 melibatkan varian Omicron, termasuk dalam kalangan pelancong yang tiba dari Malaysia.

“Seperti lima kes sebelum ini, tiga kes yang disahkan adalah kes import. Mereka melibatkan pengembara antarabangsa dari Congo dan Malaysia.

“Ketiga-tiganya adalah pekerja asing Indonesia yang kini sedang menjalani kuarantin di Wisma Atlet Kemayoran, Jakarta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu tidak menyatakan berapa ramai daripada tiga itu berasal dari Malaysia, mahupun punca jangkitan.

Ia berkata tiga kes itu disahkan melalui penjujukan genom keseluruhan, yang menghasilkan keputusan pada hari Rabu (22 Dis).

Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini mengesahkan 13 kes varian Omicron, yang kesemuanya adalah kes import dari luar negara.

Ketika dihubungi, ketua pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah berkata Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis kementerian akan menghubungi rakan sejawatnya di Indonesia untuk maklumat lanjut.