Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Soal tanggungjawab Noh atau MB: Tumpu rakyat terjejas dulu, kata Gobind

Soal siapa yang lebih bertanggungjawab berhubung musibah banjir yang menimpa rakyat di banyak negeri sejak hujung minggu lalu tidak seharusnya timbul, menurut Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo.

Sebaliknya, Gobind berkata semua pihak perlu mengetepikan perbezaan politik dan memberi tumpuan terhadap usaha membantu rakyat yang terjejas, yang ketika ini sangat memerlukan bantuan daripada mana-mana pihak.

"Semua kena kerjasama untuk pastikan bahawa masalah rakyat ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Itu yang kita perlu fokus sekarang.

"Macam di Parlimen pun saya selalu sebut walaupun ada wakil daripada latar politik yang berbeza, tetapi mengambil kira masalah yang ada, sepatutnya semua dibenarkan untuk berbahas dan berbincang (mengenai masalah banjir)," katanya.

Gobind berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dibuat Noh Omar yang mendakwa Menteri Besar Selangor Amirudin Shari tidak memahami struktur Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ia susulan kenyataan Amirudin bahawa dia akan kembali mempengerusikan MKN di peringkat negeri selepas banjir besar melanda Selangor, susulan keputusan semasa mesyuarat MKN peringkat persekutuan yang dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Noh semalam dilaporkan menempelak Amirudin dan berkata terdapat dua jawatankuasa berdasarkan dua arahan.

Katanya, soal pengurusan keselamatan negara dipengerusikannya manakala pengurusan bencana adalah di bawah Amiruddin.

Gobind enggan mengulas lanjut berhubung siapa yang bertanggungjawab ke atas MKN Selangor.

"Itu saya akan komen selepas saya dapatkan fakta, maklumat serta pengesahannya," kata ahli parlimen Puchong itu.

Terdahulu, Gobind dan bekas Ahli Dewan Negara, R Suresh Singh meninjau kawasan terjejas banjir di beberapa perkampungan sekitar Kampung Sri Andalas, yang terletak dalam kawasan parlimennya.

Tinjauan itu antara lain untuk melihat pelaksanaan kerja pembersihan yang bermula sejak Selasa lalu dan mengedar bantuan makanan serta keperluan kepada mangsa banjir.

Ini merupakan kali ketiga Gobind mengagihkan bantuan kepada kira-kira 12,000 keluarga di kawasan parlimennya yang terkesan, dengan jumlah peruntukan dianggarkan hampir RM200,000.

Dia memaklumkan telah menyediakan empat khemah bantuan di kawasan Parlimennya, iaitu di Kampung Tengah, Kampung Kenangan, Kampung Sri Andalas dan Kampung Sri Aman.

Berhubung masalah sampah sarap yang jelas masih ada di jalan dan kawasan pintu masuk rumah penduduk, Gobind berkata pihaknya kini dalam usaha menggerakkan segala jentera yang ada.

Dia berkata pihaknya sedang menunggu kelulusan tempat pelupusan baru selepas tapak sedia ada di Dengkil mencapai had maksimum.

"Masih ada 200 lori yang belum dapat keluarkan sampah mereka dan kita sedang tunggu kelulusan untuk tempat-tempat (pembuangan) baru.

"Kita juga telah membuat tempahan untuk sebanyak mana yang boleh untuk tong sampah Roro atau lori tetapi kita dimaklumkan sekarang memang banyak permintaan.

"Jadi, buat masa sekarang ini kita perlu kerja dengan kapasiti yang ada," katanya.