Azwan angkut bot dari Melaka demi selamatkan 'saudara' di Shah Alam
Biarpun berada jauh dari tempat bencana, Azwan Omar tetap berasa kesusahan yang dialami penduduk Lembah Klang itu adalah sebahagian daripada kesulitan hidupnya juga.
Lalu dia pun terdorong untuk menghulurkan bantuan sebaik mungkin.
Berkereta dari Ayer Keroh di Melaka, Azwan, 29, pun mengangkut bot kecilnya untuk menaiki Perodua Viva lalu menuju Taman Sri Muda di Shah Alam pada Ahad lalu.
Tiada sesiapa yang menyertai perjalanan itu kecuali dirinya sendiri.
"Apabila saya tengok bencana banjir yang berlaku tu, saya rasa sebenarnya ia adalah ujian untuk diri saya juga.
"Semua mangsa banjir yang berdepan dengan dugaan itu ialah saudara saya juga, jadi saya fikirkan apa yang saya boleh buat untuk membantu mereka," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Terdahulu kelibat Azwan yang hanya berkereta kecil bersama botnya gigih menawarkan bantuan ke pelbagai lokasi dinaiki air tular di media sosial dan banyak menarik perhatian ramai.
Warga emas lumpuh terperangkap
Ia berlaku ketika mangsa banjir berada dalam keadaan terdesak kerana operasi menyelamat oleh agensi kerajaan kurang berfungsi seperti sepatutnya sehinggakan mereka terpaksa bergantung kepada bantuan orang perseorangan atau NGO.
Malah berdasarkan klip video yang tular, ada mangsa di Hulu Langat diselamatkan oleh beberapa warga asing yang bersampan membantu memindahkan penduduk ke tempat selamat.
Semalam Malaysiakini melaporkan bagaimana sepasang suami isteri yang tiada pekerjaan tetap berkereta dari rumah mereka di Tanjung Tualang, Perak, membawa bot untuk membantu mangsa banjir di Shah Alam.
Azwan berkata, sepanjang misi bantuan itu dijalankan pelbagai insiden yang menyentuh perasaan dihadapi khususnya ketika dia melihat sendiri keadaan mangsa-mangsa banjir yang terperangkap.
Antara yang tidak dapat dilupakan, katanya, ialah ketika dia berjaya menyelamatkan pasangan warga emas yang terperangkap dengan salah seorang daripada mereka lumpuh.
"Ketika itu saya dalam perjalanan untuk hantar bekalan makanan, sambil-sambil itu saya perhatikan keadaan sekeliling kawasan Taman Sri Muda.
"Kemudian seorang mak cik tahan saya dan bagitahu mereka masih terperangkap dan suaminya lumpuh.
"Kata mak cik tu, dah dua hari mereka terperangkap di situ dan tak ada bantuan datang, malah makanan pun tak ada. Memang saya rasa sangat sedih tengok keadaan mereka," kata Azwan yang bekerja sebagai operator mesin di Melaka.
Harap lebih ramai belia teribat
Sementara itu Azwan juga berdepan dengan pengalaman yang menggembirakan sepanjang tempoh menyumbang tenaga dalam aktiviti sukarelawan itu.
Misalnya apabila dia berjaya mengumpulkan semula keluarga mangsa di tempat yang selamat.
"Itu situasi yang paling menggembirakan saya, sebab dalam misi bantuan itu yang paling utama ialah membantu golongan yang lemah seperti warga emas, kanak-kanak dan wanita," katanya yang hanya menggunakan bot angin.
Ditanya mengenai perwatakan peribadinya, Azwan berkata, pada dasarnya dia hanyalah seorang pemuda yang pendiam dan lebih selesa bergerak secara solo berbanding terlibat dengan sebarang pasukan atau pertubuhan.
Malah menurut Azwan, apa yang dilakukan di Shah Alam itu adalah pengalaman pertama membantu mangsa banjir dengan botnya.
Daripada pengalaman itu, katanya, dia sangat berharap semua pihak khususnya golongan belia lebih ramai tampil membantu orang dalam kesusahan apabila keadaan memerlukan.
"Tak sangka juga saya jadi perhatian. Saya ini sebenarnya seorang yang pendiam saja dan masih bujang.
"Kalau ada calon sesuai bolehlah perkenalkan pada saya," katanya dengan nada bergurau.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai