Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Di media sosial, ramai marah tindakan perlahan, lawatan 'publisiti' ahli politik

Kekecewaan dan kemarahan berhubung kerajaan yang dikatakan lambat bertindak balas terhadap banjir yang melanda, serta ahli politik yang dilihat menggunakan musibah ini untuk publisiti masih hangat diperkatakan di media sosial.

Warganet telah memuat naik dan mengongsikan sejumlah video yang antara lain memaparkan reaksi negatif mangsa banjir terhadap menteri yang berkunjung di kawasan yang terjejas atau membangkitkan kritikan terhadap usaha menyelamat yang dilaksanakan kerajaan.

Antara video tersebut adalah yang dimuat naik pengguna Twitter Farid Reduan, yang memaklumkan rakaman itu diambil di Bukit Changgang, Selangor.

Video itu memaparkan konvoi kereta rasmi kerajaan yang diiringi polis sedang melepasi beberaa individu yang berehat di sebuah khemah berwarna biru.

Seorang wanita di khemah itu kemudian membut komen sinis terhadap konvoi tersebut.

“Terima kasihlah, banyak korang tolong ya. Wah, banyak (kereta) datang tolong mangsa banjir.

“Esok banjir dah surut datanglah lagi ya…bye,” katanya.

Satu lagi video dimuat naik seorang wartawan TV3, yang menunjukkan seorang lelaki yang dikenali sebagai Pak Din di pusat penempatan sementara di SK Teluk Gong di Klang, Selangor. Wartawan itu menyatakan terdapat kekurangan bekalan makanan dan air di situ.

Lelaki itu dilihat sedang memarahi seseorang (tidak termasuk dalam rakaman).

“Kami mengharapkan bantuan daripada dermawan. Kerajaan di mana?

“Apa tanggungjawab anda? Kami memilih anda untuk uruskan pentadbiran dan keselamatan kami.”

“Kami dipinta bencana, tiga hari di sini. Kami hanya dapat bantuan daripada dermawan. Tolong, mana Majlis Keselamatan Negara? Mana Jabatan Kebajikan Masyarakat?” soalnya.

Satu lagi video dimuat naik pengguna Twitter bernama Haziq Asyraf Jr, menunjukkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sedang berada dalam kereta dan bercakap dengan seorang wanita menerusi tingkap kereta.

Wanita itu dirakam berkata yang rumahnya di kawasan yang lebih tinggi dan kawasan di bahagian dalam lebih teruk terjejas.

Sementara itu, satu video yang dimuat naik di TikTok menunjukkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memakai jaket keselamatan sedang menaiki bot dan menuju ke arah bumbung sebuah rumah yang dinaiki air.

Bot itu yang penuh dengan orang lain yang turut mengenakan jaket keselamatan. Selepas tiba dekat dengan bumbung, beberapa orang membantu Tengku Zafrul untuk naik ke bumbung.

Kata-kata pada video itu mendakwa bot tersebut dinaiki pegawai menteri, pengawal keselamatan dan jurukamera.

@shirul74

Ada jenis bantu..Bantu menyenangkan dan ada juga bantu buat orang susah..##fyp ##foryoupage ##senyum

♬ Monkeys Spinning Monkeys - Kevin MacLeod & Kevin The Monkey

Ada juga gambar yang dimuat naik di Twitter oleh pengguna bernama Cen Polo, yang menunjukkan sejumlah kotak sumbangan yang dicetak dengan logo Perikatan Nasional (PN) serta gambar Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jeyakumar.

“Bantuan lambat sampai sebab tunggu kotak berlogo siap. Patutlah,” ciapnya.

Selain itu, tanda pagar DO NOT DONATE TO GOVERNMENT (jangan salurkan sumbangan kepada kerajaan) juga sohor kini di Twitter dengan lebih 30,000 ciapan setakat ini. Ia susulan pelancaran Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia pada Isnin lalu.

Ramai yang membuat ciapan menggunakan tanda pagar itu menyuarakan kekecewaan terhadap kerajaan dan menggalakkan orang ramai menyalurkan sumbangan kepada NGO.

Ada juga yang membangkitkan keraguan tentang bagaimana wang tabung itu akan digunakan nanti.