Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Projek tebus guna mungkin burukkan lagi masalah banjir di Melaka

Sebuah gabungan NGO yang memperjuangkan pemuliharaan pantai Melaka menyatakan rasa bimbang mereka terhadap bencana banjir yang boleh bertambah buruk di Melaka dengan projek tambak laut yang sedang dirancang.

Kumpulan dikenali sebagai Save Our Shores (SOS) Melaka itu berkata demikian sebagai mengulas laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk projek menebus guna kawasan seluas 300 ekar berhampiran Klebang bagi membangunkan Zon Ekonomi Tepi Laut Melaka (M-WEZ).

Menurut SOS Melaka, selain pelbagai isu alam sekitar, kebimbangan utama orang ramai ialah projek tambak laut itu akan menjejaskan aliran air sungai ke laut.

“Projek penambakan menyukarkan aliran air hujan ke laut.

"Aliran sungai, seperti dari Sungai Lereh, telah terjejas. Ini antara punca banjir kilat kerap berlaku di bandar Melaka," kata kumpulan itu dalam kenyataan mereka.

SOS Melaka juga menegaskan projek penambakan laut tersebut dibuat hanya 500 meter dari Pulau Upeh yang merupakan tapak pendaratan penyu.

“Pulau Upeh adalah satu-satunya tapak pendaratan penyu di Melaka. Laporan EIA menyatakan projek sebelum ini memberi kesan kepada tapak tersebut dan projek ini pasti akan memburukkan lagi keadaan.

"Tambakan itu bertentangan dengan Rancangan Fizikal Negara Ketiga (RFN3) yang menyatakan bahawa penambakan tidak dibenarkan di kawasan sensitif alam sekitar," katanya.

Turut membimbangkan kata SOS Melaka projek pembangunan tersebut dibuat di atas tapak yang diwartakan sebagai kawasan warisan negara.

“Projek tebus guna sebelum ini telah memberi kesan mendalam kepada alam sekitar dan ekosistem.

"Ia menyebabkan pencemaran teruk termasuk akibat tumpahan minyak dari kapal.

"Pelan pengurusan alam sekitar yang dicadangkan tidak mencukupi untuk memulihkan warisan alam sekitar yang akan musnah," katanya.

SOS Melaka juga berkata jabatan perikanan memberi amaran bahawa projek itu akan membawa kepada kehilangan kekal habitat hidupan marin, sekali gus memberi kesan buruk kepada aktiviti perikanan pantai.

[Baca berita asal]