Bantu rakyat bernafas semula: Zahid mahu i-Citra RM10,000 diteruskan
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berpendapat menteri kewangan perlu meneruskan skim i-Citra melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan banjir teruk yang melanda negara.
Jelasnya, walaupun kerajaan telah mengumumkan sejumlah bantuan kewangan, tetapi harus diakui ia belum mencukupi.
"Mangsa memerlukan modal untuk membina semula kehidupan selepas bencana ini berakhirnya sepenuhnya. Mencukupkan semula kelengkapan dan keperluan diri serta keluarga yang telah musnah akibat ditenggelami air.
"Kenderaan, perabot serta peralatan rumah, pakaian, makanan dan segala-galanya. Bagi peniaga pula perlu melengkapkan semua peralatan perniagaan untuk kembali mencari rezeki.
"Dalam keadaan begitu amat wajar menteri kewangan memenuhi permintaan rakyat agar skim i-Citra dilanjutkan," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu Zahid berkata dia berkesempatan melawat beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dan kawasan terjejas akibat banjir.
Mengulas lanjut anggota Parlimen Bagan Datuk itu berkata, bantuan kerajaan beserta RM10,000 wang KWSP pasti sedikit sebanyak membantu rakyat 'bernafas semula'.
Kata Zahid, bagi yang tidak terjejas akibat banjir juga memerlukan wang berkenaan untuk bangkit semula dari kemelut ekonomi.
"Kumpulan Bank Dunia dilaporkan turut menyarankan kerajaan meneruskan bantuan pendapatan sedia ada bagi tempoh minimum enam bulan lagi.
"Ia demi memastikan kelangsungan sokongan kewangan kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan rentan. Ingatlah, berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
"Secara tidak langsung wang itu dapat digunakan oleh mangsa banjir untuk kembali bangkit daripada kemusnahan," katanya yang menegaskan kesemua mangsa banjir ini perlu dibantu sehabis baik untuk mendepani saat-saat sukar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai