Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Saya nak sekolahkan MB Selangor, dia tak faham MKN - Noh

Menteri kabinet Noh Omar berkata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari tidak memahami struktur Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kenyataan itu dibuat selepas Amirudin berkata dia kembali dilantik mempengerusikan badan itu di peringkat negeri selepas banjir besar.

Noh berkata sebenarnya terdapat dua jawatankuasa berdasarkan dua arahan.

Katanya, arahan nombor satu (pengurusan keselamatan negara) dipengerusikannya manakala arahan nombor 20 (pengurusan bencana) bawah Amiruddin.

“Saya nak sekolahkan MB Selangor ini supaya MB Selangor ini memahami arahan-arahan dan pentadbiran kerajaan.

“Kalau sebagai menteri besar beliau tak memahami arahan-arahan pentadbiran kerajaan, maka sebab itu kita lihat persiapan banjir Selangor kelam kabut,” katanya.

Amirudin Shari ketika membantu mangsa banjir 

Amirudin semalam dilaporkan berkata dia kembali mempengerusikan MKN Selangor mulai Rabu, susulan keputusan semasa mesyuarat MKN peringkat persekutuan yang dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi Twitter, Syahredzan Johan, setiausaha politik kepada Lim Kit Siang, mendakwa Amirudin pada mulanya kehilangan jawatan itu kepada Noh Omar yang juga ketua Umno Selangor dan menteri pembangunan usahawan dan koperasi.

Syahredzan turut mempersoalkan kekurangan tindakan pantas berikutan keadaan banjir yang semakin meruncing pada Sabtu.

Syahredzan Johan

"Tadi juga MB Amirudin Shari menzahirkan kekangannya tidak dapat panggil mesyuarat MKN Negeri.

"Persoalan: Pertama, mungkinkah koordinasi aset keselamatan akan lebih baik jika MB yang pengerusinya?

"Kedua, mengapa Pengerusi MKN Selangor tidak panggil mesyuarat MKN," soalnya lagi.

[Baca berita asal]