Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tiada PRK di Kempas - Speaker DUN Johor

Tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas meskipun terdapat kekosongan dengan pemergian penyandangnya Datuk Osman Sapian, malam tadi, kata Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat.

"Oleh kerana telah lebih tiga tahun sejak Pilihan Raya Umum (PRU) lepas dan tiada isu majoriti DUN Johor dengan kelebihan satu kerusi di pihak kerajaan, maka mengikut Fasal 23(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor (maka), tiada PRK di Kempas," kata beliau ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang kini mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah, turut menyampaikan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, Osman menewaskan Ramlee Bohani dari Barisan Nasional dan Dzulkefli Suleiman (PAS) dengan majoriti 9,178 undi, untuk memenangi kerusi DUN tersebut menerusi tiket Bersatu.

Beliau juga pernah menyandang kerusi yang sama selepas memenangi kerusi tersebut menerusi tiket Umno pada Pilihan Raya Umum ke-10, ke-11 dan ke-12.

Osman, yang juga bekas Menteri Besar Johor itu, meninggal dunia di rumah anak lelakinya di Damansara, semalam pada pukul 11.45 malam tadi pada usia 69 tahun.

- Bernama