Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Saksi mengaku sengaja tak musnahkan laporan asal 1MDB

Bekas ketua audit negara Madinah Mohamad memberitahu mahkamah, dia membuat keputusan untuk tidak memusnahkan salinan asal laporan audit 1MDB kerana mengandungi bukti material mengenai syarikat pelaburan milik negara itu.

Saksi pendakwaan ke-12 itu memberi keterangan lisan semasa perbicaraan mengenai laporan audit 1MDB hari ini terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas CEO syarikat terbabit, Arul Kanda Kandasamy.

Semasa prosiding di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan, Madinah berkata dia membuat keputusan untuk tidak memusnahkan laporan audit 1MDB dengan tera air “09” selepas pertemuannya dengan juruaudit dari Jabatan Audit Negara (JAN) Nor Salwani Muhammad pada Mac 2017.

Saksi pendakwaan itu berkata Nor Salwani memberitahunya bahawa terdapat dua versi laporan audit 1MDB iaitu salah satunya dengan tera air "09" yang merupakan versi asal yang tidak diubah suai.

Madinah berkata Nor Salwani juga memberitahu, dia menyimpan versi asal laporan tersebut agar ia boleh dilihat sebelum diputuskan sama ada perlu dimusnahkan atau sebaliknya kerana mengandungi maklumat penting mengenai 1MDB.

“Saya merujuk kepada dokumen laporan audit 1MDB bertanda tera air '09' dan saya mengesahkan ini adalah laporan audit 1MDB yang telah dimuktamadkan yang ditunjukkan oleh Nor Salwani kepada saya.

"Saya mengesahkan bahawa tera air '09' pada setiap halaman laporan menunjukkan bahawa ia adalah laporan kesembilan daripada 10 salinan yang telah dimuktamadkan.

"Saya kemudian membuat keputusan untuk tidak memusnahkan laporan (asal) ini kerana ia mengandungi maklumat material dan bukti mengenai 1MDB," kata Madinah.

Jadi bukti pihak pendakwaan

Tambahnya, susulan pertukaran kerajaan daripada BN kepada pentadbiran PH pada 2018, dia menyerahkan salinan laporan audit tera air '09' 1MDB kepada Majlis Penasihat Negara yang ditubuhkan kerajaan, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Salinan itu menjadi salah satu bukti utama yang digunakan oleh pihak pendakwaan dalam kes pengubahsuaian laporan audit terhadap Najib dan Arul Kanda.

Pada 2019 semasa perbicaraan kes itu, saksi pendakwaan kelima Nor Salwani memberi keterangan bahawa dia secara rahsia menyimpan salah satu salinan asal laporan audit 1DMB, yang disediakan oleh JAN pada 2016.

Dia memberi keterangan bahawa ketua juruaudit negara ketika itu, Ambrin Buang, mengarahkan supaya semua salinan dimusnahkan untuk mengelakkan kebocoran.

Hanya salinan yang diubah suai telah diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Nor Salwani Muhammad

Salinan laporan audit Nor Salwani mengandungi tera air "09". Dokumen itu telah dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat pada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda Kandasamy

Dalam tuduhan bersama itu, Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa keputusan untuk membuat pindaan itu dibuat semasa mesyuarat pada 24 Feb 2016, di pejabat ketua setiausaha kerajaan ketika itu Ali Hamsa.

Dakwanya lagi, pengubahsuaian ini dilakukan untuk mengeluarkan atau mengubah bahagian tertentu laporan audit 1MDB, termasuk menggugurkan isu kehadiran Low Taek Jho (Jho Low) dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.

Isu lain yang didakwa digugurkan daripada laporan audit 1MDB ialah dua penyata kewangan 2014 yang bercanggahan maklumatnya mengenai syarikat tersebut.

Selain Ali, Ambrin dan Arul Kanda, individu lain yang hadir pada mesyuarat itu ialah Saadatul, bekas ketua setiausaha sulit Najib Shukry Salleh, dan wakil Jabatan Peguam Negara Dzulkifli Ahmad.

[Baca berita asal]