Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Projek penambakan untuk jana berbilion ringgit, namun habitat penyu terancam

Projek penambakan mega Zon Ekonomi Tepi Laut Melaka (M-WEZ) dijangka menarik pelaburan berbilion ringgit, namun ia memberi ancaman kepada penyu sisik, spesis yang diklasifikasikan sebagai "terancam kritikal.

Banyak lokasi pantai di negara ini, termasuk di Melaka, menjadi kawasan bersarang utama penyu sisik. Menurut Jabatan Perikanan, sekurang-kurangnya 442 penyu mendarat dan bersarang di sepanjang pantai Melaka pada tahun 2019.

Projek M-WEZ dikaitkan dengan dua pemimpin Umno Melaka.

Baru-baru ini, projek penambakan AJA, yang merupakan sub-projek M-WEZ, telah menyerahkan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA).

Laporan itu memberi amaran bahawa projek berkenaan akan membawa kepada penurunan mendadak pendaratan penyu, iaitu separuh daripada jumlah kebiasaanya.

Menurut laporan itu, Konsortium Pembangunan Tanah Laut (Melaka) Sdn Bhd bercadang untuk menuntut semula 300 ekar tanah di kawasan perairan sekitar pekan Klebang. Pembinaan akan mengambil masa lima tahun.

Habitat penyu di Pulau Upeh terjejas

Terletak kira-kira 500 meter dari kawasan projek yang dicadangkan ialah Pulau Upeh yang merupakan kawasan pendaratan utama penyu sisik.

Laporan EIA mendedahkan terdapat kira-kira 20 penyu mendarat di pulau kecil itu setiap tahun, untuk bertelur.

Bagaimanapun, laporan itu memberi amaran bahawa jumlah mungkin akan berkurangan separuh apabila projek penambakan dimulakan.

“Berdasarkan laporan awal/rekod, dapat disimpulkan dengan selamat bahawa cadangan projek penambakan mungkin memberi kesan negatif kepada populasi penyu di Melaka, khususnya di Pulau Upeh.

“Bagi memastikan kos alam sekitar tidak dipandang remeh, pelaksanaan projek itu akan mengurangkan purata bilangan pendaratan sebanyak 50 peratus, daripada 20 kepada 10 setahun,” katanya.

Laporan itu juga menekankan bahawa isu utama yang perlu diberi perhatian ialah pendedahan kepada cahaya dan peningkatan tahap bunyi.

Ia menjelaskan bahawa penyu menggunakan bunyi untuk navigasi, untuk mencari mangsa dan mengelakkan pemangsa manakala pencahayaan tiruan dari tapak pembinaan akan menghalang penyu daripada mendarat sambil menyukarkan anak-anak penyu untuk mencari jalan ke laut, mengakibatkan dihidrasi dan kematian.

Laporan EIA juga mengesyorkan pemaju mengurangkan jumlah pencahayaan dan bunyi, serta menghentikan aktiviti penambakan pada waktu malam semasa musim penyu mendarat untuk bertelur.

Selain penyu, laporan itu menekankan bahawa projek itu juga akan memberi kesan negatif terhadap kawasan karang, plankton, makrobenthos dan ikan.

Bagi tujuan penambakan, pemaju akan melombong dan memindahkan 20 juta meter padu pasir laut dari sumber yang terletak 9 kilometer dari lokasi cadangan.

Untuk amaran tentang kemungkinan pencemaran air laut dan tumpahan minyak yang disebut, laporan itu mencdangkan kerja-kerja penambakan dijalankan secara berperingkat bagi membolehkan hidupan marin beralih dan mewujudkan tukun tiruan dalam fasa pasca penambakan bagi membolehkan hidupan marin pulih.

Mata pencarian nelayan akan terjejas

Laporan itu juga turut meramalkan projek penambakan AJA itu akan menjejaskan kehidupan kira-kira 200 nelayan.

Katanya, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah membangkitkan kebimbangan, khususnya membabitkan akses nelayan ke laut terhalang semasa fasa pembinaan, juga kemungkinan berlaku perlanggaran antara bot nelayan dan kapal yang mengangkut pasir serta pengurangan hasil tangkapan.

Agensi kerajaan ini telah menuntut pampasan bagi pihak nelayan.

Menurut dokumen yang dilampirkan pada laporan EIA, pemaju telah "menyumbang" RM1.5 juta kepada Tabung Ekonomi Nelayan dan RM6.534 juta sebagai "bayaran ex-gratia" kepada nelayan yang terjejas.

Laporan EIA berkata pemaju telah mengamanahkan kerajaan negeri untuk mengeluarkan pampasan berkenaan.

Menjelang pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini, bekas ketua menteri Adly Zahari mendakwa kerajaan negeri BN tidak menyalurkan pampasan berkenaan untuk projek penambakan laut yang lain kepada nelayan dan telah menyalahguna wang pampasan itu.

Katanya, wang itu telah digunakan untuk membayar gaji penjawat awam dan majlis kerajaan kerana kekurangan bajet.

Bagi memastikan kehidupan nelayan terpelihara, laporan EIA mencadangkan pemaju merancang dengan teliti kerja-kerja penambakan bagi memastikan akses dari jeti ke kawasan perikanan tidak disekat selain meminta supaya mereka menjalinkan kerjasama erat dengan nelayan.

Laporan itu memaklumkan bahawa pemaju mencadangkan supaya nelayan mengambil "peluang pekerjaan" lain seperti penternakan sangkar, perkhidmatan membaiki bot dan lain-lain.

Malaysiakini telah menghubungi Gene & Quin Holdings (syarikat induk Konsortium Pembangunan Tanah Laut (Melaka) untuk mengulas mengenai perkara ini.

Laporan EIA disediakan oleh Ardhmillenia Sdn Bhd. Orang ramai boleh mengemukakan maklum balas mereka di laman sesawang sebelum Sabtu (25 Dis).

[Baca berita asal]