Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Paras air meningkat di sebahagian Shah Alam

Media Selangor melaporkan berlaku peningkatan paras air di Sungai Damansara yang melalui beberapa kawasan di Shah Alam pagi ini.

Antara kawasan yang membimbangkan itu ialah TTDI Jaya, kawasan berhampiran Stadium Shah Alam di Seksyen 13 dan laluan di Plaza Tol Bukit Jelutong.

Pengumuman dibuat melalui hantaran di Facebook itu ialah setakat jam 7 pagi tadi.

“Selain itu, paras air juga naik di laluan Lanchong Jaya dan Seksyen 28 berhampiran Pasar Raya Hero,” kata media rasmi Selangor itu.

Ia juga meletakkan beberapa gambar yang menunjukkan jalan raya yang dinaiki air di kawasan itu.

Banjir besar yang melanda negara pada Sabtu lalu setakat ini mencatatkan kobran seramai 27 orang. Ia merupakan angka kematian tertinggi sejak banjir besar terakhir pada 2014.

Dua puluh daripada kematian itu dilaporkan di Selangor manakala selebihnya di Pahang

Di kawasan Seksyen 25 Taman Sri Muda, Shah Alam saja, sembilan mayat ditemui.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam mengakui terdapat kelemahan dalam pengurusan banjir khususnya di Selangor, namun memberi jaminan akan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Katanya tanggungjawab menguruskan banjir bukan terletak pada bahu kerajaan persekutuan sahaja, sebaliknya kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan di daerah juga memainkan peranan penting.

Sementara itu melalui ciapan di Twitter, Majlis Bandaraya Shah Alam pula menasihatkan orang ramai agar berhati-hati di kawasan terbabit.

"Memandangkan paras air di kawasan TTDI Jaya dan Stadium Seksyen 13 meningkat, mohon orang ramai untuk mengelak daripada melalui kawasan tersebut," katanya.