Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

TI-M mahu kastam jalankan audit pada mesin pengimbas 'tak memuaskan'

Transparency International-Malaysia (TI-M) menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia menjalankan audit pascapengambilalihan (PAA) berikutan pendedahan bahawa pengimbas kargo yang baru dibeli mereka tidak berfungsi seperti sepatutnya selepas ujian selama sebulan dijalankan.

Presiden TI-M, Muhammad Mohan, berkata adalah penting bagi kerajaan untuk menjelaskan bagaimana mereka akan bertindak bagi mengatasi isu kualiti pengimbas terbabit.

Katanya, pada masa sama realitinya dapat difahami bahawa memang boleh berlaku kekurangan atau kelemahan pada mana-mana peralatan baru yang dipasang dan penyesuaian juga mungkin perlu diperlukan sebelum ia boleh digunakan secara rasmi.

“Kita perlu tahu bagaimana keadaannya. Sekarang sudah Dis dan pemasangan dibuat pada Sept, jadi kita perlukan maklumat terkini daripada pihak berkuasa terbabit,” kata Muhammad kepada Malaysiakini.

Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa semakan dalaman daripada Jabatan Kastam mendedahkan bahawa prestasi pengimbas baru itu "tidak memuaskan" dan hanya merekodkan 53 peratus ketersediaan operasi.

Bagaimanapun, pembekal 13 pengimbas itu di Semenanjung Malaysia, PTS Resources Sdn Bhd, mendakwa "tiada isu pengimbas berprestasi rendah" dalam kontrak perolehannya.

Syarikat itu juga menjelaskan isu yang dikesan dalam semakan hanyalah membabitkan "pemerhatian awal yang telah diselesaikan sepenuhnya".

Berfungsi atau tidak

Merujuk kepada penjelasan syarikat itu, Muhammad mencadangkan pihak berkuasa berkaitan seperti Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam menjalankan PAA berhubung perkara itu.

“Untuk berlaku adil kepada pembekal, isu penalaan semula boleh dibyuat tetapi yang paling baik ialah melakukan PAA.

"Jabatan Kastam mempunyai pasukan auditnya sendiri dan orang dari Kementerian Kewangan juga harus membuat semakan.

"Sekurang-kurangnya kebenaran akan terungkap sama ada mesin itu berfungsi atau tidak (selepas audit)," katanya.

Muhammad berkata, menjadi amalan biasa bagi sektor swasta mengaudit pembelian mereka selepas tiga hingga 12 bulan bagi memastikan sistem atau peralatan baru itu berfungsi dengan baik.

Dia turut menggesa agar kerajaan mendedahkan laporan audit itu kepada umum bagi menunjukkan kesungguhan kerajaan menegakkan amalan ketelusan pentadbiran.

“Ini akan membawa persepsi positif terhadap kerajaan, menunjukkan mereka serius dalam isu ini.

“Maklum balas segera dan ketelusan daripada pihak berkuasa adalah apa yang kita mahukan di negara ini,” tambahnya.

Malaysiakini telah menghubungi dan masih menunggu maklum balas daripada Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam.

Sebelum ini, dalam dua laporan dalaman Jabatan Kastam yang dilihat Malaysiakini, walaupun pengimbas itu "tidak memuaskan", proses pemasangan masih diteruskan, dan beberapa mesin mendapat kelulusan daripada kerajaan.

Berdasarkan data semasa laporan itu dibuat, keupayaan mengimbas alat tersebut adalah kira-kira 53 peratus dan ia jauh lebih rendah daripada keperluan "95 peratus ketersediaan operasi" yang dinyatakan dalam dokumen tender.

[Baca berita asal]