Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Dari muda sampai dah bercucu, masalah banjir belum selesai'

Penduduk Jalan Padang Siapong di Kampung Krubong Tengah di Melaka yang terletak berhampiran Kolam Tadahan Air Gangsa, memohon kerajaan negeri memindahkan kira-kira 30 rumah yang didiami lebih 50 penduduk ke kawasan lebih selamat.

Rohayah Doli, 51, berkata kedudukan kolam tadahan berkenaan berhampiran di kawasan kampung berkenaan menjadi kerisauan mereka, kerana khuatir kolam tadahan berkenaan pecah atau air dari kolam berkenaan melimpah keluar ke kawasan kampung sekiranya hujan lebat, seperti yang berlaku di Lubok China pada Jumaat lepas.

Beliau berkata sebelum ini, sebahagian penduduk di Jalan Padang Siapong telah dipindahkan ke kawasan lebih tinggi berhampiran, yang kini dikenali penduduk sebagai 'kampung banjir' selepas kawasan yang didudukinya itu dilanda banjir besar mencecah paras dada pada 1991.

“Masih terdapat kira-kira 30 buah rumah di Jalan Padang Siapong tidak dipindahkan ke kawasan lain termasuk rumah makcik. Pada tahun 1991, ketika banjir berlaku makcik sedang berpantang di rumah ibu makcik di Kampung Tampoi Krubong.

“Disebabkan itu, makcik antara yang tidak dipindahkan ke Kampung Banjir kerana ketika proses pemindahan dilakukan makcik tiada di kawasan itu dan selepas pulang ke rumah, kuota yang ditetapkan telah pun penuh,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong di Melaka hari ini.

Sementara itu, pusat pemindahan sementara (PPS) diibaratkan umpama rumah kedua bagi dirinya dan keluarga yang telah berdepan dengan bencana itu saban tahun sejak tinggal di kawasan tersebut pada 1991.

“Dari muda sampai dah bercucu...dah generasi ketiga pun masalah banjir masih belum selesai. Ada waktunya teruk hingga ke paras dada dan ada waktunya hanya paras peha.

“Setiap tahun sekurang-kurangnya dua kali rumah akan dinaiki air apabila hujan turun lebih satu jam selain air di kawasan Gadek turun ke Krubong,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusof Mat, 60, yang merupakan anak jati Jalan Padang Siapong berkata beliau berdepan dengan bencana itu sejak berusia 11 tahun.

Katanya sejak itu keluarganya tidak pernah membeli barangan perhiasan rumah berbanding barangan keperluan, kerana ia akan memberi kerugian kepada mereka khususnya apabila banjir berlaku.

“Walaupun ada niat untuk mencantikkan rumah seperti orang lain namun semua itu terpaksa saya lupakan, kerana setiap tahun sekurang-kurangnya dua kali banjir akan berlaku di kawasan tempat tinggal. Tahun ini pun, Okt lepas baru banjir berlaku dan banyak perabot rosak habis,” katanya.

Sementara itu, Faridah Ibrahim, 59, dari kawasan sama berkata walaupun setiap tahun berdepan dengan situasi sama, namun beliau masih bersyukur kerana nyawa dan keselamatan beliau dan keluarga masih dipelihara.

“Syukur Alhamdulillah. Walaupun kami dilanda banjir, namun ada lagi yang mengalami nasib yang lebih teruk termasuk kehilangan nyawa ahli keluarga yang lemas dalam banjir,” katanya.

Beliau berkata bantuan makanan dan barangan keperluan lain yang disediakan di PPS juga mencukupi untuk keselesaan penduduk yang terpaksa berlindung buat sementara waktu.

- Bernama