Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penghuni Pangsapuri Indahria di Shah Alam dipindahkan

Penghuni Pangsapuri Indahria di Batu Tiga, Shah Alam, diminta untuk berpindah dari situ kerana keadaan struktur bangunan itu yang membimbangkan kesan dariada banjir beberapa hari lalu.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangtunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail, ketika mengesahkan hal itu kepada Malaysiakini berkata, penduduk terbabit ditempatkan di pusat penempatan sementara sejak 19 Dis lalu.

"Beberapa tahun lalu ada isu dengan bangunan serta kawasan parkirnya yang terletak bersebelahan dengan tebing sungai.

"Semasa banjir keadaan menjadi lebih buruk... kami mendapat salah satu tiang (bangunan) itu retak," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Rodziah yang juga Adun Batu Tiga berkata kerajaan tidak mahu mengambil sebarang risiko. Justeru katanya penduduk terbabit diminta berpindah untuk keselamatan mereka.

Tambahnya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan meneliti keadaan bangunan terbabit dan mengeluarkan laporan mengenainya bagi menentukan sama ada penduduk selamat untuk pulamg atau sebaliknmya.

Katanya lagi kerajaan negeri meminta MBSA menyiapkan laporan berkenaan dalam tempoh dua minggu.

Pangsapuri Indahria dibelenggu oleh masalah struktur sejak berberapa tahun lalu lagi dengan penduduk menyatakan kebimbangan terhadap kawasan letak kereta yang ditenggelami air seawal 2013.

Isu itu juga dibangkitkan dalam jawapan bertulis semasa DUN Selangor bersidang pada 2016.

Kerajaan negeri kemudian berkata mereka tidak dapat menyelesaikan isu keretakan di bangunan terbabit kerana tanah yang didudukinya adalah hak milik persendirian dan diuruskan oleh badan pengurusan bersama.

Menurut kerajaan Selangor, MBSA menghantar surat kepada pemaju pada 2013 dengan mengarahkan mereka menyelesaikan masalah struktur berkenaan dalam tempoh dua minggu.

Bagaimanapun pemaju menjawab surat berkenaan dengan menyatakan keengganan mereka bertanggungjawab atas isu yang berlaku.

Pada Mac lalu Menteri Besar Selangor Amirudin Shari turut melawat ke kawasan berkenaan dan diberikan taklimat mengenai isu pemendapan yang berlaku.

Katanya kerajaan negeri dan MBSA akan bertindak untuk mengatasi masalah tersebut.