Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bukan Umno saja tentukan bila PRU15 diadakan, kata Muhyiddin

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata bukan Umno sahaja yang akan memutuskan bila PRU15 akan diadakan.

Kenyataan itu selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata kepimpinan parti itu akan menimbang usul yang dibuat di peringkat bahagian agar PRU diadakan lebih awal.

Namun, Muhyiddin membangkitkan antara terma persetujuan antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Perikatan Nasional (PN) adalah gabungan itu perlu dilibatkan dalam perbincangan berkenaan waktu untuk PRU diadakan.

"Kita dengar di luar, kata PRU nak sampai (sudah dekat) tapi sebenarnya bukan Umno (sahaja) yang tentukan.

"PN akan duduk bincang (bersama) bila masa yang sesuai. Ini antara terma untuk sokongan kita (terhadap Ismail)," katanya ketika ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Kuala Lumpur, hari ini.

Sokongan bukan tanpa syarat

Katanya lagi, sokongan Bersatu terhadap Ismail Sabri sebagai perdana menteri bukan tanpa syarat dan boleh ditarik balik jika terma yang dipersetujui tidak dipenuhi.

"Sepertimana yang disebut perdana menteri sendiri, Umno kembali memegang tampuk kerajaan bukan kerana parti itu mempunyai jumlah kerusi majoriti di Parlimen, tetapi kerana sokongan oleh parti-parti Perikatan Nasional, GPS, PBS dan beberapa ahli parlimen bebas.

"Jadi, saya ingin berpesan kepada pihak-pihak tertentu di dalam Umno. Hormatlah sedikit, jangan mudah lupa diri." katanya disambut tepukan hadirin.

Muhyiddin mengakui perdana menteri mempunyai kuasa untuk membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Namun, dia menegaskan antara syarat yang dirunding dengan Ismail Sabri sebagai pertukaran untuk sokongan mereka adalah PN dilibatkan dalam perbincangan dan proses membuat keputusan berhubung waktu ia patut diadakan.

"Bila tiba masanya, kita akan bincang dengan perdana menteri," katanya.

Katanya lagi, walaupun Ismail selaku naib presiden Umno perlu mengambil kira pandangan partinya, PN selaku gabungan yang memberikan sokongan perlu dihormati dengan dilibatkan dalam membuat keputusan sebesar itu.