Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Baru Bian gembira dengan peningkatan majoriti undi

Penyandang DUN Ba'Kelalan Baru Bian melahirkan rasa kagumnya selepas mempertahankan kerusinya dengan majoriti yang meningkat.

Baru menang kerusi itu pada 2011 dan 2016 sebagai pemimpin PKR negeri tetapi berpaling tadah semasa Langkah Sheraton dan menyertai Parti Sarawak Bersatu.

Sementara gabungan pemerintah GPS memperoleh kemenangan besar dengan 75 kerusi berbanding empat oleh PSB dan dua oleh DAP, Baru gembira dengan kemenangannya ke atas seorang calon GPS dan tiga yang lain dalam pertarungan lima penjuru.

“Keputusan ini mencerminkan kebangkitan politik orang Lun Bawang sejak sedekad lalu. Mereka kini matang dari segi politik dan tidak lagi mudah terpedaya dengan retorik lama bahawa hanya BN/ GPS yang boleh membawa pembangunan untuk rakyat.

"Dengan kematangan ini, pengundi Lun Bawang memahami bahawa terdapat perkara yang lebih penting daripada projek dan pembangunan, perkara seperti hak mereka: hak tanah, hak agama, hak generasi muda untuk pendidikan yang baik dan pekerjaan yang bermakna untuk masa depan yang lebih baik," katanya. katanya.

Baru, yang juga ahli parlimen Selangau mendakwa penolakan terhadap GPS di Ba’ Kelalan petunjuk jelas bahawa Lun Bawang lebih mementingkan keadilan, kesaksamaan dan tadbir urus yang baik berbanding imbuhan kebendaan.

"Saya amat berbangga dengan pengundi saya, dan amat berterima kasih kepada mereka kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk satu penggal lagi," katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyokong, sukarelawan dan keluarganya.

Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Abang Johari Openg dan GPS, sementara terpaksa berhadapan dengan hakikat bahawa PKR gagal menang kerusi untuk pilihan raya negeri kedua berturut-turut.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengundi PKR serta sukarelawan dan jentera pilihan raya. Penilaian menyeluruh perlu dibuat segera supaya kami boleh bangkit semula," katanya.

Parti Bumi Kenyalang (PBK) pimpinan presidennya Voon Lee Shan juga tewas kesemua 73 kerusi yang dipertandingkan.

Katanya, peratusan keluar mengundi adalah sangat rendah dan kemenangan oleh GPS bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.

"GPS mengawal keseluruhan keadaan dan telah mengeksploitasi situasi pandemik Covid-19 untuk memberi kelebihan kepada mereka.

“Mereka membiarkan orang tiada pendidikan, memberi wang dan bantuan makanan yang menunjukkan gambar menteri dan YB pada semua bantuan makanan kepada orang dalam kempen mereka.

“Mereka boleh menggunakan helikopter untuk berkempen manakala kami terpaksa melawan sekatan SOP covid-19 untuk berkempen.

“Selagi rakyat sayangkan wang dan terus miskin dan lapar serta dijauhkan daripada pembangunan, GPS akan dapat memerintah Sarawak selama yang mereka suka,” katanya.

[Baca berita asal]