Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Amanah tangguh konvensyen, bantu mangsa banjir

Bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara khususnya di negeri Selangor, Presiden Amanah Mohamad Sabu memaklumkan bahawa konvensyen Amanah yang dijadualkan berlangsung hari ini ditangguhkan.

“Sebagai presiden Amanah, saya mengarahkan semua peringkat sayap parti terutama Pemuda, Wanita (Awan), Arif, Warda (Wanita Muda) kawasan dan negeri untuk turun segera membantu mangsa banjir di seluruh negara, khususnya di Selangor.

“Konvensyen Amanah yang sepatutnya diadakan hari ini telah kita tangguhkan bagi mendahulukan perkara berkaitan kepentingan rakyat,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu mendatangkan bencana alam di Lembah Klang dan negeri lain. Klang merupakan kawasan yang paling terjejas akibat banjir.

Sehingga pukul 11 malam sebanyak 188 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di enam negeri yang terjejas banjir kerana hujan lebat sejak semalam, melibatkan 11,384 mangsa daripada 4,500 keluarga.

Selain Selangor, negeri lain terjejas banjir ialah Pahang, Terengganu, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan terkini Perak.

Malam semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob meminta polis dan tentera untuk menggerakkan lebih banyak aset dan anggota susulan banjir teruk di Selangor dan negeri-negeri lain.