Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Calon PKR Bukit Saban lapor polis, dakwa diprovokasi

Calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban hari ini membuat laporan polis berhubung kejadian beliau diprovokasi oleh seorang lelaki semasa meninjau sebuah pusat mengundi di Spaoh , kira-kira 150 km dari Kuching pagi ini.

Mikail Mathew Abdullah berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 11 pagi semasa beliau hendak meninjau pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Spaoh, yakni salah satu daripada pusat mengundi bagi DUN Bukit Sabah, apabila tiba-tiba beliau didatangi seorang lelaki yang kemudiannya mengeluarkan kata-kata kesat dengan nada yang tinggi terhadapnya.

“Saya berada di dalam kereta sebelum didatangi oleh individu berkenaan dikenali sebagai “Polo” yang mengarahkan saya untuk mengalihkan kereta.

“Ketika keluar dari kenderaan berkenaan, lelaki itu mengeluarkan kata-kata kesat dengan nada yang tinggi dan ketika saya cuba beri penjelasan, dia bertindak agresif terhadap saya,” katanya ketika dihubungi oleh Bernama hari ini.

“Tindakan agresif individu itu bagaimanapun dihalang oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian,” katanya, dan menambah beliau kemudiannya telah membuat laporan polis di Balai Polis Spaoh bersama-sama beberapa saksi kejadian.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis berhubung kejadian itu.

“Dia (Mikael) membuat laporan polis kerana dihalang, dan Ibu Pejabat Polis Daerah Betong sedang menjalankan siasatan,” katanya.

Hari ini merupakan hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12, dan pertandingan di kerusi DUN Bukit Saban menyaksikan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang merupakan penyandang kerusi itu, dicabar oleh Mikael Mathew dan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Andria Dundang @ Andria Gelayan.

- Bernama