Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hamzah: Pemimpin langgar undang-undang punca pendaftaran Muda ditolak

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mendakwa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) gagal didaftarkan sebelum ini adalah disebabkan kesalahan undang-undang yang dilakukan pemimpin parti itu.

Tegas Hamzah, oleh kerana itu pihaknya terpaksa mengangguhkan pendaftaran Muda.

“(Presiden Penaja Muda) Syed Saddiq Abdul Rahman dah jumpa saya, dia benar-benar minta dan saya dah nasihatkan dia.

“Masalah yang saya terpaksa tolak (pendaftaran Muda) tempoh hari adalah kerana dalam Akta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), kita tak benarkan sesiapa ahli atau anggota jawatankuasa penaja, mana-mana orang nak tubuhkan parti baru langgar undang-undang dalam negara.

“Tapi masa kita nak luluskan tempoh hari, mereka telah banyak lakukan kesalahan seperti lakukan demonstrasi dan buat perkara-perkara yang melanggar undang-undang negara.

“Maka, mengikut akta itu, saya terpaksalah untuk tidak meluluskan kerana ramai daripada jawatankuasa penaja mereka adalah individu yang melakukan kesalahan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali keempat, di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 17 September tahun lalu Muda memohon Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mendaftarkannya sebagai parti politik, namun ditolak pada 6 Januari tahun ini.

Pada 4 Februari, Muda membuat rayuan kepada Hamzah susulan penolakan tersebut.

Bagaimanapun, pada 11 Ogos, Hamzah melalui sepucuk surat telah menolak rayuan bagi pendaftaran parti itu tanpa menyatakan sebarang sebab penolakan.

Pada 21 September, hakim Mahkamah Tinggi membenarkan Syed Saddiq memfailkan semakan undang-undang berhubung penolakan Hamzah terhadap permohonan Muda.

Mahkamah Tinggi pada 14 Disember lalu memerintahkan KDN membenarkan Muda didaftarkan sebagai parti politik dalam tempoh 14 hari, serta membayar kos sebanyak RM10,000.

Mengulas perkara itu, Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu berkata pihaknya akan berbincang dengan pengerusi parti itu, Muhyiddin Yassin dan perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob berhubung tindakan lanjut terhadap Muda.

“Oleh kerana mahkamah dah putuskan untuk beri peluang dan dikatakan ia adalah hak mana-mana (pihak) untuk menubuhkan parti, maka saya dah pun bincangkan perkara ini dengan pesiden parti (Muhyiddin Yassin) saya dan juga bincang dengan perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob), saya akan umumkan Isnin nanti Insya-Allah,” katanya.