'Ambil iktibar, bukan gembira bila pemimpin parti lain dihadap ke mahkamah'
Kepimpinan dan ahli Bersatu dingatkan agar tidak bergembira tentang parti lain yang dihadapkan dengan pertuduhan mahupun sabitan di mahkamah.
Tanpa merujuk mana-mana pihak secara khusus, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata mereka seharusnya berasa kecewa dan menjadikannya sebagai iktibar.
“Kita wajar berasa sedih dan kecewa, kita patut berasa insaf dan hiba…Melihat mantan pemimpin negara, mantan pemimpin orang Melayu berdepan dengan mahkamah pengadilan kuasa, bukanlah ruang pandang yang mewajarkan gegak gempita.
“Bukan cara kita bertepuk gembira. Bukan amalan kita bersukacita dengan mehnah yang menimpa. Mereka juga ada anak dan keluarga, ada maruah yang perlu dipelihara.
“Segala yang berlaku, harus memberi iktibar dan pengajaran buat kita. Jangan sesekali lena dan khayal dengan kuasa,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan kali keempat Bersatu, di Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut ketika ditemui pemberita usai ucapannya, Ahli Parlimen Tambun itu berkata apa yang berlaku diharap dapat membawa pemimpin yang terlibat ke pangkal jalan.
“Tambahan lagi (mereka yang) pernah berjasa. (Ia) bukan sesuatu yang patut diraikan, tapi ambil iktibar utk kebaikan kita bersama,” katanya lagi ketika ditemui pemberita selepas merasmikan perhimpunan tahunan parti Itu sebentar tadi.
Walau tidak menyebut sebarang nama, baru-baru ini Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas perdana menteri Najib Razak untuk mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Sementara itu, Faizal dalam ucapannya turut menyeru hadirin agar mendoakan kesihatan bekas pengerusi parti, Dr Mahathir Mohamad yang kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
“Kita doakan agar beliau diberi kesihatan terbaik dan diberi kesembuhan segera.
“Insya-Allah sedikit salah faham tak meruntuh rasa kasih dan hormat kita terhadap Tun Mahathir,” katanya.
Mahathir dimasukkan ke IJN pada 16 Disember lalu bagi menjalani pemeriksaan perubatan.
IJN dalam kenyataan ringkasnya berkata pihaknya kini sedang menjalankan pemeriksaan lanjut mengenai keadaan kesihatan bekas perdana menteri itu yang dijangka akan selesai dalam beberapa hari.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai