Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Faizal: Bersatu terlalu banyak 'tuding jari' dalam PRN Melaka

Hampir sebulan PRN Melaka melabuhkan tirainya, Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu tampil mendedahkan kelemahan partinya, yang hanya menang 2 daripada 15 kerusi.

Berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Keempat Bersatu di Kuala Lumpur, hari ini, Faizal berkata antara kelemahan mereka adalah jentera pilihan raya yang terlalu banyak memainkan kesalahan pihak lain.

“Saya ingin berterus terang, di peringkat awal saya dan ramai pimpinan dapat menghidu udara kemenangan. Penerimaan rakyat dan pengundi kepada ‘Abah’ (Muhyiddin Yassin) saya sifatkan luar biasa. Kita dapat rasa ‘penerimaan positif’ rakyat.

“Tapi sayang, hari demi hari, kita mula melihat kelompongan dan kelemahan kita. Boleh ke saya bercakap dengan juhur tentang kelemahan kita ini?

“Sebagai peneraju jentera PRN Melaka, saya nampak beberapa iktibar dan kelemahan ketara, kita terlalu banyak ‘blame game di Melaka. Kita banyak menuding jari, tapi tidak lihat kepada sumbangan kita sendiri…Kita suka tengok orang buat kerja; supaya mudah kita salahkan dia kalau benda tak jadi,” katanya.

“(Kita) menunding jari dan menyalahkan jentera tempatan. Kita perlu akui kita tidak kuat di semua tempat. Ada kawasan kita perlukan pemerkasaan rakan-rakan dari luar. Semangat kebersamaan mesti ada. Jangan terlalu pantas membuat tuduhan dan serangan,” katanya lagi.

Selain Bersatu, parti komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu PAS dan Gerakan tewas di semua kerusi yang ditandingi.

Menurut Faizal lagi, kelemahan lain Bersatu dalam PRN Melaka adalah semangat berpasukan yang longgar, kekurangan ilmu pilihan raya dan seringkali ingin menjadi VIP.

“Kita suka jadi VIP. Saya sebut tadi, kita perlu kembali kepada asas. Asas ilmu pilihanraya ini ada dua dan saya sendiri buat kedua-duanya. Ilmu susun kerusi dan ilmu letak bendera. Ini kita mesti fasih.

“Semangat berpasukan kita masih longgar. Berdasarkan maklum balas di bawah, mereka suka cara kita berkempen,kita ambil pendekatan sederhana, santai dan tenang. Tapi, ‘outreach’ kita tidak merata,” katanya lagi.

Dia juga membangkitkan apa yang disifatkannya sebagai menggunakan pendekatan model politik lama.

“Kita selalu seronok-seronok dengan kumpulan kita sendiri. Pergi Melaka, kumpul sama sendiri tapi tidak turun mendekati pengundi. Tidak semua, saya boleh kenal siapa yang betul-betul buat kerja, tapi masih ramai yang amal cara politik lama ini.

Faizal bagaimanapun mengingatkan pimpinan dan ahli Bersatu agar tidak menganggap kekalahan di Melaka sebagai petanda buruk masa depan politik parti itu.

Katanya Bersatu dan PN mendapat penerimaan baik di kalangan pengundi dan terdapat “angin sokongan” di banyak kerusi yang ditandingi.

“Kita terima hakikat kurang berjaya di Melaka dan banyak yang perlu ditambah baik.

“Tetapi ada menyindir minta kita bubarkan parti. Mereka lupa, parti ini tidak runtuh atas hinaan, cercaan dan makian. Bukan pejuang Bersatu namanya jika menganggap ini sebagai pengakhiran kepada kita,” katanya lagi.

Alu-alukan Warisan di Semenanjung

Manakala mengulas kedatangan Warisan ke Semenanjung, Faizal mengalu-alukannya kerana menyifatkan ia sebagai hak demokrasi.

“Warisan masuk semenanjung, Bersatu ada di Sabah dan Sarawak, asalkan kita semua amalkan politik matang, tak perlu bergaduh yang akibatkan kerungsingan kepada rakyat kita semua. 

"Orang politik tak perlu terlalu pentingkan diri kita dan kumpulan kita semata mata tetapi kepada mereka yang kita cuba wakili,” katanya.

Manakala mengulas kerjasama Muda dan Warisan, Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainuddin berkata langkah itu memperlihatkan parti itu tidak tetap pendirian.

Hamzah ketika ditemui berkata, Warisan semasa awal penubuhannya khusus untuk Sabah tapi kini bertindak sebaliknya

“Kita tidak menyekat mana-mana orang untuk berjuang melalui politik masing-masing mengikut agenda masing-masing di seluruh negara. Ini menunjukkan amalan demokrasi di negara kita ini benar-benar bebas.

“Tapi cuba kita lihat kepada Shafee. Apabila dia menubuhkan Warisan dia kata perjuangan dia hanya khusus kepada Sabah. Hari ini dia pula yang nak masuk ke Semenanjung.

"Ini bermakna Warisan merupakan satu parti yang tak konsisten dalam perjuangan mereka. Kalau kita tengok Bersatu walaupun baru, ia konsisten dari asal penubuhan part iaitu perjuangan untuk bebaskan dari masalah integriti dalam negara kita,” katanya.

Hamzah bagaimanapun berkata Bersatu menghormati hak mana-mana parti untuk melebarkan sayap mereka dan menyerahkan kepada rakyat menilai kepimpinan yang lebih baik.