Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Bukan majoriti Pemuda Umno mahu pemilihan lepas PRU'

Beberapa ketua pemuda Umno bahagian mempersoalkan kenyataan setiausaha pergerakan Pemuda Umno, Hasmuni Hassan, bahawa majoriti perwakilan sayap itu menggesa agar pemilihan parti diadakan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Dalam kenyataan hari ini, Hasmuni berkata majoriti 176 bahagian pemuda Umno telah menghantar usul dengan usul utamanya adalah menggesa agar pemilihan parti diadakan hanya selepas PRU15.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kepong Mohd Hazreq Mohd Husin menyifatkan angka yang dikemukakan Hasmuni itu tidak tepat.

“Sebenarnya tak sebanyak itu pun. Kalau ikutkan angka, saya rasa belum boleh dikira sebagai majoriti pun,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukannya sendiri secara rawak, angka itu tidaklah sehingga boleh mencecah ke angka 176, manakala usul yang dibawa pun tidak banyak menyentuh tentang pemilihan dan PRU.

“176 tu pada saya, memang bukan angka yang tepatlah,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Bukit Bintang Mohd Khairulnizam Mohd Isa juga tidak bersetuju dengan kenyataan Hasmuni, malah mengatakan bahagiannya tidak ada berbincang soal pemilihan mahupun PRU15.

Secara peribadi, dia lebih cenderung agar pemilihan dilakukan sebelum PRU15, sementalah tinjauan yang dilakukannya menunjukkan rakyat tidak mahu menghadapi PRU dalam masa ini.

“Kita nakkan kemenangan dalam PRU. Kita kena tahu apa kehendak rakyat. Rakyat nak tengok hala tuju Umno, siapa pasukan Umno yang baru.

“Dan buat masa ini, rakyat tak nak pun PRU, rakyat selesa dengan kerajaan yang ada sekarang, kerajaan Keluarga Malaysia ini, itu (berdasarkan) tinjauan yang kita buatlah.

“Jadi, kita pergi kepada pemilihan dahulu. Tak kisahlah siapa yang menerajui, dan kita akan bersedialah untuk menghadapi PRU kalau itu sudah kehendak ahli-ahli.

Sekarang, rakyat hendak tengok perubahan yang ada dengan Umno,” katanya.

Untuk rekod, Umno harus mengadakan pemilihan parti sebelum 29 Disember 2022 seperti disahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), selepas menangguhkan pemilihan.

Terdapat gesaan daripada kalangan Umno agar PRU15 dipercepatkan berbanding tempoh berakhir penggal parlimen pada Jun 2023. Namun ada juga daripada kalangan Umno yang mahu PRU15 diadakan mengikut tempoh habis penggal.

Bagi memenuhi gesaan agar pemilihan dibuat selepas PRU15 - seperti didakwa Hasmuni - bermaksud PRU15 harus diadakan paling lewat tahun hadapan, sebelum pemilihan.

'Ada banyak lagi isu harus diketengahkan'

Ketua Pemuda Umno, Bahagian Marang Zul Fadli Rozi pula melihat Pemuda Umno tidak harus meletakkan isu pemilihan sebagai usul utama, kerana masih ada banyak isu yang harus diketengahkan, baik dari sudut politik mahupun kebajikan rakyat.

“Kita pun tak tahu angka itu sebenarnya betul ke tidak. Sebab kita di Terengganu, rasanya tak ada tekankan (highlight) isu pemilihan pun. Kita tak pernah fikir pasal pemilihan dalam situasi sekarang.

“Tak tahulah bahagian lain. Tapi angka 176 tu tak tahulah daripada mana. Kalau bahagian saya tak ada (bincangkan soal pemilihan),” katanya.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Simpang Renggam, Mohd Faizal Mohd Said juga menyatakan tidak setuju sekiranya ada desakan untuk mempercepat PRU15.

Katanya, parti seharusnya memperkemas gerak kerja sebelum mendesak PRU15 dipercepat, termasuk soal manifesto, tawaran baru, perbelanjaan dan sebagainya.

Katanya, dia percaya pemilihan sebelum PRU - berbeza daripada tradisi Umno sebelum ini - akan dapat memberikan sinar baru kepada rakyat.

“Sebab rakyat tak suka presiden. (Jika pemilihan dahulu) Kita ada peluang untuk mencari satu lagi calon ‘budak poster’ (poster boy) untuk Umno, yang parti boleh terima, rakyat pun boleh terima. Itu saja.

“Maksudnya, siapa pun presiden yang baru nanti, tak mahu dia merosakkan keseluruhan imej Umno. Tidak menjadi liabiliti maksud saya,” tambahnya.

Katanya, lazimnya dalam PRU, presiden partilah yang akan menjadi ‘budak poster’ - istilah yang digunakan untuk menggambarkan susuk utama yang akan digunakan imejnya bagi menghiasi bahan-bahan kempen seperti risalah, kain rentang, poster dan sebagainya.

“Kalau kita ketengahkan presiden parti kita (Ahmad Zahid Hamidi), masalahnya saya tak nak. Kalau di bahagian saya, yang itu saya tak nak. Tak apalah, tak perlu ada gambar ‘budak poster’. Saya perlukan gambar calon saya sahaja,” katanya lagi.

Mereka berempat menyatakan usul diketengahkan bahagian masing-masing, antaranya menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri; mengehadkan umur ketua pemuda Umno Malaysia kepada bawah 40 tahun; dan mengetengahkan lebih ramai calon muda dalam PRU.

Bahkan, Hazreq mengaku hairan mengapa isu had umur ketua pemuda Umno Malaysia tidak ditekankan dalam kenyataan Hasmuni, sedangkan ia menjadi isu paling banyak dibincangkan di seluruh negeri.

“Kita boleh bersuara, tapi biarlah angka dan fakta itu betul. Ini kita lihat angka 176 tu, saya sendiri pun boleh tahu kata ia bukanlah angka yang tepat pun,” katanya lagi.

Selain pemilihan selepas PRU15, satu lagi usul yang digariskan Hasmuni yang dikatakan diterima daripada bahagian-bahagian pemuda Umno yang telah bersidang ialah supaya Umno dan BN mengetengahkan lebih ramai calon muka baru dan calon anak muda dalam PRU15.

Setiausaha Puteri Umno Malaysia, Asuma Beevi Mohamed Sali juga dalam satu kenyataan berkata majoriti 171 bahagian mahu agar pemilihan parti diadakan hanya selepas PRU15.

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil menyarankan agar “pemimpin Umno pro-Bersatu” tidak langkah bendul dengan menggesa supaya pemilihan Umno diadakan sebelum

PRU15, memandangkan amalan Umno adalah mengadakan PRU terlebih dahulu sebelum pemilihan, jika jarak masa keduanya tidak jauh.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata pemilihan Umno bagi penggal 2021/2023 mungkin diadakan pada November 2022.