Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kelantan rekod 570 mangsa banjir di empat daerah

Kelantan merekodkan sejumlah 570 mangsa banjir membabitkan 114 keluarga, hari ini.

Menurut data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 4.00 petang tadi, sebanyak sembilan buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah.

Dua PPS dibuka di Gua Musang kini menempatkan 443 mangsa, lima PPS di Kuala Krai menempatkan 95 mangsa, sebuah PPS di Jeli dengan 24 mangsa dan lapan mangsa di satu PPS Tanah Merah.

Sementara itu di Jeli, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan lima keluarga yang terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Baru Kuala Balah kira-kira jam 10.50 pagi tadi.

Operasi diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Anuar Ismail bersama 10 anggota itu berjaya mengeluarkan seramai 17 orang mangsa menggunakan bot JBPM dan polis.

Kesemua mangsa kemudiannya ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Balah.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan situasi semasa tiga sungai di Kelantan telah melepasi paras amaran susulan hujan berterusan di beberapa kawasan sejak tiga hari lepas, setakat jam lapan pagi tadi.

Menurut portal info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai tersebut ialah Sungai Lebir di Kuala Koh, Gua Musang iaitu pada paras 71.76 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (23.19 m) dan Sungai Kelantan di Kampung Jenob, Tanah Merah (23.28 m).

Sementara itu, Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas pula berada pada paras waspada kerana trend air sungai sedang menaik dengan masing-masing merekodkan bacaan 22.43 m dan 7.16m selain Sungai Relai di Jalan Felda Aring, Gua Musang turut berada pada paras waspada dengan trend menurun.