Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

NGO tuntut inkues kematian Muhammad Hidayat di IPD Pekan

Kumpulan peguam dan pelobi hak asasi Malaysia menuntut prosiding inkues diadakan bagi menyiasar kes kematian dalam tahanan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Pekan, Pahang, kira-kira sebulan lalu.

Tuntutan itu dinyatakan dalam memorandum Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Gerakan Guaman Rakyat (Gegar) kepada Jabatan Peguam Negara di Putrajaya yang dihantar secara serahan tangan pagi ini.

Suaram dan Gegar mahu tahu sekiranya terdapat unsur-unsur kecuaian dan salah guna kuasa semasa pengendalian tahanan, iaitu Muhammad Hidayat Abdul Halim, pekerja binaan 44 tahun.

“Setelah hampir 10 jam penahanan mangsa iaitu pada jam lebih kurang sembilan malam pada tarikh yang sama, barulah keluarga dihubungi oleh pihak polis untuk dimaklumkan sebab penahanan.

“Keluarga telah dimaklumkan bahawa sebelum mangsa meninggal dunia, mangsa telah mengalami muntah-muntah.

“Namun pihak polis hanya memberikan ubat paracetamol (Panadol) kepada mangsa (berdasarkan laporan polis - PEKAN/003786/21),” menurut memorandum itu.

Menurut mereka, anggota keluarga juga ragu-ragu berkaitan penjelasan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, bahawa allahyarham meninggal kerana saluran darah yang tidak normal pecah, akibat angin ahmar.

“Perkara ini membuat keluarga ragu dengan keadaan mangsa sebelum beliau meninggal dunia, kerana seseorang menghadapi serangan atau gejala stroke akan menunjukkan simptom-simptom awal yang tertentu dan seterusnya akan menjadi lemah selama beberapa jam sebelum meninggal dunia (berdasarkan laporan polis - PEKAN/003786/21).”

Menurut mereka, anggota keluarga juga, melalui peguam, telah menghantar permohonan inkues pada 1 November tetapi masih tiada balasan.

Menurut mereka, Muhammad Hidayat ditahan pada 8 Oktober kira-kira jam 11 pagi dan meninggal dunia selepas kurang 72 jam selepas ditahan.

Suaram dan Gegar berkata, dia ditahan di IPD Pekan bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (memasukkan dadah ke dalam badan).

Bapa kepada enam orang anak itu juga tidak mempunyai masalah kesihatan ketika ditahan, menurut memorandum itu.

Suaram diwakili oleh pegawai programnya Mohammad Alshatri Abdullah. Turut hadir wakil Parti sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan dan Adik Muhammad Hidayat, Ahmad Faiz Abdul Halim.